Thursday, May 10, 2012

Berembang pulihara kumbang lampyridae



SERANGGA kelip-kelip merupakan salah satu khazanah alam anugerah Allah yang begitu istimewa dan perlu dihargai. Dikenali juga sebagai kunang-kunang, serangga ini boleh mengeluarkan cahaya daripada ekornya terutama jika dilihat pada waktu malam.

Uniknya, cahaya bioluminasi yang dihasilkan kelip-kelip daripada famili kumbang kumbang lampyridae berfungsi untuk komunikasi antara mereka iaitu untuk menarik pasangan atau mencari mangsa.

Menyedari keistimewaan serangga yang bersifat noktural iaitu aktif pada waktu malam itu, beberapa pihak tampil dengan inisiatif untuk memelihara kesinambungan kitaran hidup kelip-kelip agar ia terus wujud untuk tatapan generasi akan datang.

Baru-baru ini bertempat di Pusat Kemudahan Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor, telah berlangsung majlis perasmian penanaman pokok berembang bersama komuniti setempat untuk konservasi kelip-kelip.

Program tersebut dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Research Sdn. Bhd. (TNBR) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti penyelidikan UKM di bawah Geran Galakan Penyelidikan Universiti-Komuniti di bawah Hal Ehwal Jaringan Industri-Masyarakat (HEJIM) yang bertajuk Konservasi Kelip-Kelip Melalui Penglibatan Komuniti Kampung Kuantan, Kuala Selangor Bagi Meningkatkan Aktiviti Ekopelancongan.

Melalui geran itu, ia membolehkan penyelidik UKM dan TNBR menginovasikan penyelidikan yang melibatkan masyarakat secara langsung.

Naib Presiden Hal Ehwal Korporat TNB, Adelina Iskandar berkata, program itu merupakan kesinambungan bagi projek kolaborasi antara TNBR dan UKM dalam Kajian dan Implementasi Pemuliharaan Kelip-kelip dan Rehabilitasi Habitat.

“Keunikan dan kemampuan kelip-kelip menjana cahaya mendorong TNB untuk mengkaji dengan lebih lanjut tentang kewujudannya dan secara tidak langsung menyumbang ke arah usaha memulihara serangga ini.

“Projek ini bukan sahaja mewujudkan kesedaran umum dan pengetahuan terhadap pemuliharaan alam sekitar, tetapi ia turut membantu meningkatkan sosio ekonomi atau taraf kehidupan penduduk di sekitar kawasan ini,” ujar Adelina sambil memberitahu TNB telah menjadi penaja utama di pusat tersebut sejak tahun 2008.

Pulihara spesies

Melalui komitmen sumbangan sebanyak RM1.5 juta, TNB telah melaksanakan pelbagai projek dan usaha bagi memastikan objektif utama untuk memulihara kesinambungan kehidupan spesies istimewa kelip-kelip di Kampung Kuantan serta habitatnya itu, terhindar daripada sebarang ancaman kepupusan tercapai.


PARA pendayungdi Pusat Konservasi Kelip-Kelip Kampung Kuantan merupakan duta kecil TNB dalam mempromosikan aktiviti pelancongandi sana.


Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM, Prof. Dr. Mohamad Deraman memberitahu, selain penanaman pokok berembang, terdapat beberapa aktiviti lain yang telah dijalankan di bawah projek tersebut.

Ini termasuklah majlis dialog bersama komuniti Kampung Kuantan dan juga komuniti di kawasan Lindungan Kelip-kelip.

“Rentetan daripada itu, satu skuad yang dinamakan Skuad Kelip-Kelip telah ditubuhkan bagi memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada penduduk kampung tentang cara-cara menyemai biji benih pokok Berembang.

“Kemudian, penduduk sendiri akan menanam pokok berembang di tebing sungai yang terhakis serta di belakang rumah para penduduk,” ujar Dr. Mohamad.

Menurut Ketua Projek Komuniti Konservasi Kelip-Kelip UKM, Prof. Madya Dr. Norela Sulaiman, pokok berembang amat penting kepada kelangsungan habitat kelip-kelip kerana ia menjadi tumbuhan perumah utama untuk serangga itu mengawan. Malah, apa yang membezakan kelip-kelip di Kampung Kuantan dengan di kawasan lain ialah ia mampu mengerlip secara serentak setiap tiga saat untuk memikat pasangan.

Bekalkan nutrien

“Kelip-kelip jantan mempunyai kerlipan yang lebih terang kerana mempunyai dua segmen cahaya di bahagian abdomen manakala kelip-kelip betina hanya memiliki satu segmen cahaya di tempat yang sama.

“Walaupun kajian khusus mengapa kelip-kelip memilih pokok berembang belum dilaksanakan sepenuhnya, namun dipercayai cecair tumbuhan yang dihasilkan oleh pokok ini mempunyai khasiat yang tinggi untuk membekalkan nutrien kepada kelip-kelip betina untuk menghasilkan telur dan aktiviti fisiologi lain,” ungkap Norela lebih lanjut.


SIMBOLIK. Anak pokok berembang dikeluarkan dari replika buahnya oleh Mohamad (dua dari kiri) sekali gus merasmikan majlis konservasi kelip-kelip itu. Turut kelihatan Norela (kiri) dan Adelina (tengah).


Bagi pendayung sampan di Pusat Pelancongan Kelip-kelip Kampung Kuantan, Nasarudin Mohd. Rashid, 28, dia memuji inisiatif TNB dalam memulihara serangga kelip-kelip.

“Melalui program penanaman pokok berembang, ia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dan meningkatkan taraf pendapatan penduduk di daerah Kuala Selangor ini,” kata Nasarudin merangkap duta kecil TNB dalam mempromosikan aktiviti pelancongan kelip-kelip.

Pada majlis itu, sebanyak 120 batang anak pokok berembang telah berjaya ditanam di sekitar kawasan tebing sungai di pusat tersebut.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Jaringan Industri & Masyarakat, Fakulti Sains & Teknologi UKM, Prof Dr. Mohamad Deraman yang mewakili Naib Canselor, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Turut hadir Pengarah Urusan TNBR, Dr. Mohd. Hariffin Boosroh; Yang Dipertua MDKS, Noraini Roslan dan Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Datuk Muhammad Yaakob Ismail.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: