Perhilitan rampas 555 ular tedung, 171 kura-kura diseludup
Jamalun (berdiri dua dari kiri) bersama anggota Perhilitan negeri menunjukkan sebahagian haiwan eksotik yang dirampas semalam.

GEORGETOWN - Gegaran yang terhasil dari dengusan yang dihasilkan 555 ekor ular tedung selar membawa kepada penemuan bersama 171 ekor kura-kura hidup yang dipercayai untuk diseludup ke luar negara.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, haiwan eksotik itu disorokkan dalam kotak dan disusun di belakang lori untuk mengaburi mata pihak berkuasa ketika pemeriksaan pada jam 4.30 pagi.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan oleh penguatkuasa Agensi Pencegahan Penyeludupan Spesis-spesis Terkawal Malaysia (MAQIS) bersama Ketua Unit Kawalan Pintu Masuk dan Pemeriksaan Konsaimen Perhilitan negeri,Tan Teong Kim di Kompleks Kargo Batu Maung mendapati terdapat 180 kotak yang diisytiharkan mengandungi buah betik.

“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan oleh seorang penguatkuasa terdengar bunyi dengusan serta kotak yang mengandungi ‘betik’ itu ada yang bergerak. Apabila diperiksa, kita menjumpai sejumlah ular tudung selar dan kura-kura yang masih hidup,” katanya kepada mediahari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati 80 kotak mengandungi 555 ekor ular tedung senduk spesis Naja Kaouthia dan 171 kura-kura spesis Heosemys Grandis yang masih hidup.

“Kita percaya kesemuanya akan dieksport ke Hong Kong kerana permintaan tinggi untuk haiwan berkenaan untuk dijadikan makanan eksotik.

“Hasil maklumat mendapati syarikat terbabit berpengkalan di Gurun, Kedah. Siasatan masih dijalan bagi mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan itu," katanya.

Menurutnya, harga pasaran seekor ular bersaiz besar boleh mencecah sehingga RM200 dan RM80 saiz kecil. Kura-kura boleh mencecah sehingga RM200 seekor.

Jamalun berkata, pemandu lori berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kami turut merampas lori yang digunakan untuk membawa buah betik bersama haiwan itu. Anggaran nilai rampasan adalah RM110,000 dan yang terbesar oleh Perhilitan negeri pada tahun ini," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Pemerdagangan Mengenai Spesis Terancam 2008 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 bagi setiap haiwan dan tidak melebihi RM1 juta pada agregatnya atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.