TANPA bersusah payah, jentera lumba Formula Satu (F1) mampu mencapai kelajuan daripada titik pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa beberapa saat sahaja.
Sesuai namanya, jentera berprestasi tinggi itu begitu mudah mencecah kelajuan 200km/j, malah boleh melepasi kelajuan 300km/j dalam tempoh kurang 10 saat.
Sebagai perbandingan, berjalan kaki sebanyak 11 langkah dengan kelajuan sederhana juga mengambil masa selama 10 saat.
Pesawat komersial Boeing 747 berkapasiti lebih 400 penumpang boleh terbang selepas memecut di landasan pada kelajuan 288km/j tetapi jentera F1 mampu mencapai kelajuan maksimum 350km/j.
Dalam perlumbaan F1 semua formula terbaik digunakan untuk mencapai tahap maksimum. Segala sudut diambil kira termasuk keperluan jentera, bahan bakar, kemahiran pemandu dan cuaca.
Sebenarnya, hampir mustahil untuk mencapai kelajuan 300km/j dalam pemanduan biasa jika tidak memandu ‘peluru jalanan’, Bugatti Veyron yang pernah merekod kelajuan 431km/j.
Veyron berharga AS$2.4 juta (RM7.44 juta) seunit.
Memandu jentera F1 bukan sahaja memerlukan kecekapan dan stamina. Anda juga perlu memiliki Lesen Super daripada Persekutuan Pemotoran Antarabangsa (FIA).
Hanya individu yang diundi ahli jawatankuasa FIA akan menerima lesen berkenaan. Itu pun setelah calon tersebut menunjukkan prestasi konsisten dalam siri perlumbaan berskala kecil seperti sirkit Formula 3.
Namun, lesen itu tidak diperlukan jika kereta F1 berkenaan mempunyai kerusi ‘pembonceng’ seperti Minardi F1X2.
Idea kerusi kedua jentera F1 bukanlah suatu cabaran besar buat jurutera casis. Malah, program tersebut pernah dilakar oleh kumpulan Tyrrell Racing pada awal 1990-an sebelum tim itu berkubur pada tahun 1998.
Mengikut idea asal, rekaan kereta F1 dua tempat duduk yang diberi nama Tyrrell 026 itu mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan.
Laman web rasmi kumpulan permotoran Minardi mendedahkan, ruang kokpit F1X2 melibatkan pertambahan panjang keseluruhan jentera sebanyak 380 milimeter (mm) manakala ruang belakang pemandu dibina menggunakan 306 lapisan gentian karbon.
Sebagai rekod, FIA menetapkan kereta F1 mesti mematuhi dimensi panjang tidak lebih 4,635mm panjang, 1,800mm lebar dan 950mm tinggi.
Michael Schumacher
Hakikatnya, walaupun kereta F1 terbabit lebih panjang hampir 10 peratus namun pembinaannya mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor keselamatan dan prestasi.
Bagi kebanyakan individu, menonton perlumbaan F1 merupakan satu aktiviti yang akan dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
Namun, membonceng jentera F1 yang mempunyai 700 kuasa kuda dengan pacuan enjin 10 silinder merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai.
Program Minardi tersebut mula dikomersialkan di litar Donington Park, Britain pada tahun 2000 sebagai F1X2.
Menurut Minardi, sebanyak 44 pemandu termasuk Michael Schumacher, Emerson Fittipaldi, Mario Andretti, Nigel Mansell, Damon Hill dan Fernando Alonso sudah memandu jentera F1X2.
Sehingga kini, program tersebut sudah menjelajah ke 14 buah negara termasuk buat julung-julung kalinya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini.
Di Malaysia, program Minardi F1X2 dibawa oleh peneraju perbankan Malaysia, Malayan Banking Bhd. (Maybank) sempena Grand Prix Malaysia 2012.
Isi perut naik
Ngauman enjin jentera F1 selepas ia dihidupkan cukup kuat untuk membuatkan jantung berdegup kencang.
Ngauman itu membuatkan darah berderau sehebat aliran adrenalin, manakala menjerit di cuping telinga untuk berkomunikasi sesama sendiri merupakan pemandangan biasa di Paddock 6.
Pada ketika ini, sesiapa sahaja pasti berasa tangan dan kaki mula merembeskan peluh. Penulis diberi peluang untuk merasai pengalaman membonceng F1X2 di SIC baru-baru ini.
Walaupun nampak segak di sebalik jumpsut yang bak pakaian seorang juruterbang, pakaian berjenama Sparco itu sebenarnya melekat pada kulit. Dengan keadaan litar yang telah sedia berbahang, mengenakan pakaian sebegitu terasa rimas sekali.
Sebelum berlepas, tim keselamatan Mindari membelek-belek pakaian penulis manakala penyumbat telinga dikemaskan sebelum topeng dan ikatan topi keledar diketatkan.
Agak sukar untuk masuk ke dalam kokpit penumpang F1X2 terutama bagi penulis yang mempunyai badan panjang menggalah.
“Awak perlu menggelongsor sehingga kaki memasuki ruang sebelah siku pemandu,” kata seorang pembantu tim Minardi dalam bahasa Inggeris.
Bukan sahaja penulis berasa tidak selesa malah pemandu Minardi, Patrick Friesacher turut menyiku-niku kaki penulis yang mengenai lengannya.
Tidak ada kusyen empuk dengan baldu biru di dalam jentera itu. Apa yang ada hanyalah ruang sempit manakala tulang pinggul dapat merasakan kerasnya material di dalam kokpit tersebut.
Selepas itu, tali pinggang keselamatan dipasang manakala pad bahu dan kepala dikunci.
Rasa teruja bermula tatkala bicu F1X2 diturunkan sekali gus membolehkan empat rodanya mencecah lantai.
Kereta F1X2 terus meluncur dari Paddock 6 sejurus enjin dihidupkan manakala kepala penulis terasa seperti ditarik ke belakang.
Sukar untuk meneka kelajuan kereta F1X2 pada masa itu tetapi tiang pagar serta jaring-jaring pemisah astaka dan trek di litar berkenaan sudah tidak kelihatan.
Penulis tidak mengira berapa kali kepala terhantuk ke depan dan tertarik ke belakang tetapi kejadian itu pasti berulang setiap kali Patrick bermain di 15 selekoh SIC.
Bukan terhantuk ke depan dan ke belakang sahaja, hantukan ke kiri dan kanan turut menyebabkan bahu serta lengan penulis lebam-lebam.
Kelajuan 300km/j sudah cukup kuat menekan dada. Isi perut penulis terasa naik ke dada. Namun, syukur penulis tidak termuntah, hanya sendawa yang terlepas menerusi hidung.
Sesi bonceng sebanyak tiga pusingan trek sepanjang 5.54km itu mengambil masa kurang 5 minit tetapi itu sudah cukup untuk membuatkan semua pakaian dalam seperti baru ditimpa hujan.
Bagi penulis, membayar RM18,000 untuk pengalaman 5 minit tidak pernah terlintas dalam minda tetapi semua itu termasuk 29 peserta lain menjadi realiti kerana tajaan Maybank.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: