SEORANG budak perempuan berusia 13 tahun di Britain sedang menghitung hari untuk menjalani pembedahan membetulkan struktur tulang belakangnya yang melengkung.
Tulang belakang Jessica Ingham kelihatan bengkang-bengkok kerana dia menderita penyakit keturunan tulang belakang melengkung yang dikenali sebagai skoliosis.
Keadaan tersebut jika tidak dirawat boleh menyebabkan dia lumpuh, mengalami kerosakan organ dan kematian.
Sebenarnya, ibunya sendiri, Jenette Ingham telah menjalani pembedahan serupa kira-kira 20 tahun lalu akibat masalah yang sama.
Tulang belakang Jennete dibetulkan pada tahun 1992 kerana terdapat dua lengkungan pada strukturnya yang membentuk seakan-akan huruf ‘S’.
Pakar menjangkakan pembedahan untuk memasukkan sebatang rod besi di tulang belakang Jenette meninggikan risiko dia menjadi lumpuh sehingga 83 peratus.
“Secara psikologi, saya rasa ia tidak adil kerana saya pernah menderita penyakit ini. Jadi kenapa Jessica pun turut menderita?
Sedih
“Saya begitu sedih kerana sejarah saya berulang. Ia seperti mengingatkan saya kepada kesakitan yang dilalui pada usia remaja,” kata Jenette.
Sebagai langkah persediaan sebelum pembedahan pada September nanti, Jessica perlu mengenakan alat pendakap badan selama 23 jam sehari sama seperti prosedur yang dilalui ibunya dahulu.
Pada tahun 1987, Jenette dikesan menghidap skoliosis.
Pada usia 11 tahun itu juga dia terpaksa melalui banyak sesi fisioterapi sambil mengenakan sepasang alat Boston Brace atau pendakap badan.
Pada usia 16 tahun, Jenette melalui pembedahan pertama untuk memasukkan sebatang rod besi.
Seterusnya sekali lagi pembedahan dilakukan tiga tahun kemudian untuk mengeluarkan alat tersebut.
“Saya perlu memakai pendakap badan hampir sepanjang masa. Kerana itu juga saiz badan saya menjadi sangat kurus. Keyakinan saya juga merosot.
“Saya jadi malas untuk ke sekolah. Ketika itu saya terfikir apa gunanya ke sekolah kalau hidup saya akan bergantung kepada kerusi roda sahaja kelak,” kenang Jenette.
Semasa pembedahan dijalankan, tulang rusuknya ‘dipatahkan’ dan disusun semula untuk menstabilkan kebengkokan tersebut.
Pembedahan itu adalah untuk membetulkan dua lengkungan berbentuk formasi huruf S pada struktur tulang belakangnya.
“Saya berusia 19 tahun semasa pembedahan kali kedua itu dan hampir mati disebabkan jangkitan kuman.
“Kini saya berdepan dengan keadaan suka dan duka. Saya dapat merasakan kesan rod besi yang pernah dipasang tersebut ketika saya berdiri. Jika duduk di kerusi keras, saya tidak boleh bersandar,” tuturnya.
Bukan itu sahaja, ibu Jenette, Jeniffer Aspinall, 65, turut dikesan mempunyai penyakit sama ketika usianya 50 tahun. Bagaimanapun, Jeniffer bernasib baik kerana penyakit itu tidak teruk berbanding anak dan cucunya.
Anak bongsu Jenette, Olivia Ingham, 8, kini turut diawasi kalau-kalau dia ada menunjukkan tanda penyakit keturunan keluarganya itu.
Semasa mula dikesan dahulu, berat badan Jessica menyusut dan postur belakang badannya membengkok.
Pendakap badan
“Kami perlu menunggu sehingga tiga bulan sebelum dia boleh memakai pendakap badan. Cara itu dua kali ganda lebih baik.
“Menurut doktor, sekiranya tulangnya bergerak beberapa darjah lagi, sudah terlambat untuk dia memakai pendakap tersebut.
“Pendakap itu elastik dan ketat, yang membolehkannya bersukan,” katanya.
Sebelum ini doktor ada memberitahu Jennete bahawa jika tulang belakangnya lurus, Jennete boleh mencapai ketinggian sehingga 170 sentimeter (sm). Namun, akibat masalah itu ketinggian Jennete hanya 163sm.
“Perkara sama akan berlaku kepada Jessica. Doktor akan menghentikan tumbesarannya biarpun ketinggiannya akan bertambah sebanyak 5sm selepas dibedah,” jelas Jenette.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Skoliosis Kanak-Kanak Rady dan Kajian Ortopedik, San Diego, Amerika Syarikat, Dr. Peter Newton menjelaskan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mengesan penyakit tersebut lebih awal.
“Jika ada kelainan pada tubuh badan anak anda, bawalah berjumpa doktor dan lakukan imbasan X-ray.
“Jika dikesan lebih awal, mungkin rawatan tanpa pembedahan boleh dilakukan seperti pemakaian pendakap badan.
“Tetapi jika memerlukan pembedahan yang dilakukan pada peringkat awal skoliosis, itu lebih baik dan tidak berisiko,” ujar Newton.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: