Sunday, May 6, 2012

Profesor kimia terkejut di Antartika


KARISMA Nik Meriam terhadap tugasnya tidak layu dimakan usia.


DI negara ini terdapat kurang daripada 30 profesor yang dilantik sebagai penyandang kursi di universiti tempatan mahupun luar negara. Tanggungjawab yang mereka galas bukan kecil.

Mereka mengkaji kaedah terbaik yang boleh digunakan untuk memperbaiki sesuatu keadaan.

Matlamat mereka pula bukan sekadar ingin melihat eksperimen yang dijalankan berjaya, tetapi mahu kumpulan sasaran mendapat manfaat secara menyeluruh, daripada sosioekonomi sehinggalah pelestarian alam sekitar.

Rumusan ini mungkin sukar difahami, namun itulah tanggungjawab cendekiawan penyandang kursi universiti berkenaan.

Antara penyandang yang dimaksudkan ialah Prof. Dr. Nik Meriam Nik Sulaiman, 59.

Wanita penuh karisma ini tenang sahaja orangnya. Beliau juga mudah mesra dan tidak kekok diajak bercerita biarpun pada pertemuan pertama.

Menyandang Kursi Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di Universiti Malaya (UM) sejak tahun 2010, Nik Meriam dan kumpulannya yang mempunyai minat mendalam terhadap penyelidikan alam sekitar kini sedang giat menjalankan kajian untuk mengubah strategi kelestarian kepada tindakan yang fokus kepada industri pemprosesan di Malaysia.

Batik bersih

“Dengan istilah mudahnya, saya mahu mendidik pembatik supaya menghasilkan batik yang lebih bersih,” ujar beliau.

Adakah batik Malaysia comot?

Jawab Nik Meriam, batik bersih yang beliau maksudkan ialah kaedah pengeluaran produk batik yang lebih mesra alam.

“Kami sudah berjumpa dengan 100 pembatik kecil-kecilan di Kelantan dan Terengganu.

“Melihat kepada produk yang dihasilkan, ia sememangnya berpotensi untuk diketengahkan.

“Namun, di sebalik itu kita mahu mereka mengubah cara kerja supaya produk mereka itu mesra alam.

“Maksudnya, jangan lagi membuang sisa air bercampur pewarna yang banyak bahan kimia ke tanah ataupun sungai.

“Atau menggunakan terlalu banyak lilin dan kimia lain yang bukan sahaja merugikan bahkan berbahaya.

“Walaupun ada yang menganggap ini soal remeh, dalam jangka masa panjang ia boleh memberi implikasi kepada kesuburan tanah, sistem saliran dan kesihatan pembatik itu sendiri.

“Selain itu, projek yang dijalankan dengan kerjasama daripada beberapa badan di peringkat antarabangsa ini sedang mengkaji alternatif lain yang boleh menggantikan pewarna dan lilin kepada sumber semula jadi,” jelasnya yang memberitahu, banyak pihak di peringkat antarabangsa yang berminat dengan batik Malaysia namun mahukan ia dihasilkan dengan cara yang lebih ekohijau.

Meninjau profil wanita berkulit cerah ini, Nik Meriam merupakan penyandang kedua untuk kursi yang sama menggantikan Profesor Dr. Halijah Ibrahim.

Setakat ini, Kursi Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ialah satu-satunya kursi yang ditubuhkan khas untuk cendekiawan wanita di negara ini sejak tahun 1997.

Dibiayai oleh Persatuan Siswazah Wanita Malaysia, kursi ini didedikasikan untuk memperingati wanita negara ini atas sumbangan dan kejayaan mereka dalam bidang pendidikan dan penyelidikan khasnya dalam sains dan teknologi.

Tugas menyandangnya pula bukan sembarangan orang boleh lakukan, sebaliknya ia diberikan khas kepada saintis wanita yang memberi sumbangan kepada dunia ilmiah serta menjalankan penyelidikan seiring dengan pembangunan negara.

Dengan deretan tugas yang digalas rapi di bahunya, profesor di Jabatan Kejuruteraan Kimia itu turut menyandang jawatan Pengerusi Kluster Penyelidikan Sains Lestari di universiti sama.

“Bukan anda seorang yang mengeluh penat apabila melihat tugas-tugas yang perlu saya pikul.

“Namun, bagi saya pekerjaan ini sudah sebati dalam diri saya.

“Apa yang saya amalkan, mudahkan setiap tugasan yang kita peroleh dan jangan sekali-kali jadikan ia sebagai beban.

Beku

“Konsep permudahkan di sini bukan bermaksud kita ambil mudah atau sambil lewa.

“Bagi saya, kalau kita anggap perkara itu mudah ia akan jadi mudah untuk kita, begitulah sebaliknya.

“Harapan saya, dengan peluang yang diberikan ini saya dan kumpulan saya boleh memperdalamkan lagi penyelidikan yang dijalankan bagi membantu manusia sejagat,” ujar anak kelahiran Kelantan ini.

Komitmen Nik Meriam dalam bidang akademik sudah bermula hampir 30 tahun lalu.

“Semasa menunggu keputusan peperiksaan MCE ( Malaysian Certificate of Education), saya sudah terbang ke Australia untuk mengikuti kursus matrikulasi di Universiti New South Wales.

“Tamat program tersebut, saya terus menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan sarjana dalam bidang kejuruteraan kimia di universiti yang sama.

“Sekembalinya ke Malaysia, saya tidak sempat bekerja lama. Saya ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sama di peringkat kedoktoran di Universiti Birmingham, United Kingdom.

“Selepas itu, saya kembali berkhidmat di UM sehinggalah sekarang,” cerita Nik Meriam yang masih kelihatan sihat dan cergas biarpun umurnya sudah melepasi separuh abad.

Ditanya tentang petua yang diamalkan untuk kelihatan sihat, cergas dan sentiasa bertenaga untuk bekerja, mudah sahaja jawapannya.

“Saya ikut petua Rasulullah. Masa dalam sehari perlu dibahagikan sebaiknya.

“Saya tidak ada petua yang pelik. Saya cuma makan bila perlu dan cuba mengelakkan makanan manis dan berkalori tinggi,” ujar Nik Meriam yang merupakan salah seorang daripada empat saintis Malaysia yang pertama sampai di Antartika iaitu pada tahun 1999.

“Disebabkan belum ada lagi saintis negara ini yang sampai ke sana, kami hanya mampu meneka tempat itu sangat sejuk.

“Namun, keadaan rupanya lebih ekstrem daripada apa yang kami jangkakan,” katanya yang menghabiskan masa selama dua minggu untuk melakukan kajian tentang kimia di sana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: