|
BUMI Sarawak terkenal dengan kisah kepahlawanan unggul yang dapat dilihat sebagai contohnya daripada perjuangan pemimpin keamanan suatu ketika dahulu seperti Rentap, Kanang atau Syariff Masahor.
Darah tokoh-tokoh kepahlawanan itu nyata terus semarak dalam jati diri anak seni tempatan yang berasal dari tanah yang terkenal dengan jolokan Bumi Kenyalang itu untuk berjuang dalam industri seni tanah air.
Lihat sahaja nama-nama seperti Dayang Nurfaizah, Camelia, Rem, Deja Moss atau wajah-wajah baharu antaranya Bob AF2, Hafiz serta pasangan adik-beradik yang menyertai program Mentor 4, Ila Damia dan Adi, masing-masing memiliki pendirian untuk kekal meraih sukses dengan cara tersendiri.
Malah jika diimbas kembali nama Sarawak cukup popular sebagai suatu legasi apabila karyawan filem hitam putih Melayu, Mohammad Sulaiman, anak kelahiran Pulau Pinang mengahwini wanita Sarawak sebelum dikurniakan anak yang kemudian muncul sebagai primadona filem Melayu tersohor, Siput Sarawak.
Nama Sarawak kemudian kekal menjadi legasi menerusi anak Siput Sarawak iaitu Anita Sarawak yang muncul sebagai penghibur bertaraf antarabangsa.
Lebar sayap luar negara
Izyan Alirahman, 26, atau nama pentasnya Zee Avi merupakan nama yang cukup kuat mewakili artis Sarawak. Mencipta nama di persada antarabangsa termasuklah Hollywood, dia antara penghibur muda yang bangkit daripada kepesatan teknologi YouTube.
Penyanyi berasal dari Miri, Sarawak itu kini bernaung di bawah syarikat rakaman Jack Johnson's Brushfire Records dan label Ian Montone dan telah menghasilkan album keduanya, Ghostbird yang sedang hangat mendapat sambutan di Amerika Syarikat.
"Sudah tentu saya masih merindui tanah kelahiran saya, Sarawak dan saya masih sedar akan asal-usul saya biarpun sudah jauh merantau ke negara orang," ujarnya ketika pertemuan dengannya sebelum ini.
Zee Avi terkenal dengan muzik jazz diiringi petikan ukulele yang menjadi tanda dagangnya sejak memasuki industri muzik.
Bagi Dayang Nurfaizah atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty pula, prinsip survival sebagai anak seni baginya adalah percaya pada kelebihan diri sendiri.
"Saya minat menyanyi sejak usia kecil lagi dan syukur Alhamdulillah bakat saya dicungkil daripada beberapa pertandingan nyanyian ketika remaja.
"Saya berpegang pada prinsip kerja keras, menghargai sokongan individu sekeliling dan percaya pada kekuatan muzik," ujar pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta yang berasal dari Kuching, Sarawak itu.
Diam-diam ubi berisi
Pelita di Bawah Purnama ciptaan Ajai dan liriknya oleh Slen suatu masa dahulu pernah mencetuskan fenomena dan tidak dinafikan menjadi siulan.
Bagi pelantun lagu itu, Dayang Erema atau nama sebenarnya Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 28, dia mengakui akan hakikat itu dan kehilangannya selepas memulakan institusi kekeluargaan bersama penulis lirik terkenal, Allahyarham Seri Bayu bukan kerana merajuk.
"Saya masih ada dan menjalani kehidupan sediakala seperti insan lain. Sekarang saya lebih banyak terima tawaran menyanyi untuk majlis atau acara-acara korporat.
"Buat masa sekarang saya sedang mencari material untuk single akan datang dan saya perlu lebih selektif dari segi pemilihan lagu, kerana itu peminat fikir saya sudah menghilangkan diri," kata anak kelahiran Kuching, Sarawak itu ketika dihubungi baru-baru ini.
Selain itu, Camelia atau nama sebenarnya Dayang Noor Camelia Abang Khalid, 38, suatu ketika dahulu pernah mencuri perhatian menerusi rangkaian lagu seperti Rindu Padanya, Erti Kehidupan, Dengarlah Kasih, Memori dan Terlanjur Sayang.
Namun, sejak dia dikatakan mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan berpangkat Datuk pada tahun 2010, kelibatnya dari persada seni terus lesap.
|
Sebelum itu, Camelia pernah mendirikan rumah tangga dengan Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce, namun rumah tangga mereka tidak mampu bertahan lama apabila berpisah pada November 1999.
Pengacara program dekorasi kediaman, Casa Impian yang berasal dari Kuching, Sarawak itu pernah bergelar duta produk L'Oreal, Tag Heuer, Wacoal, Epson, Pantene dan Omega dan turut dinobatkan Artis Baru Terbaik & Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 1998.
Selain Camelia, penyanyi bersuara serak basah, Rem atau nama sebenarnya Ramzani Kassim pernah hadir menyinari laman hiburan tempatan dengan lagu-lagu seperti Selingkar Kasih, Erti Kasih, Hampa dan Semua Orang Tahu.
Rem yang kini menetap di Kuala Lumpur akan muncul bersama single terbaharunya, Nanti Bila Kaya.
Bisnes
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Di Matamu Aku, Di Jiwamu Dia, Sharifah Hadijah Wan Moss atau nama pentasnya Deja Moss juga antara penghibur yang mencipta namanya dalam industri muzik sekitar tahun 1990-an.
Biarpun namanya kini tidak popular seperti dahulu, Deja kini memiliki bisnes kek lapis yang dijalankan di Kafe Hadeeja miliknya di Ukay Perdana, Selangor.
"Alhamdulillah, sekarang saya lebih fokuskan bisnes masakan Sarawak. Pada bulan Julai ini saya akan terbitkan buku resipi Masakan Sarawak & Kek Lapis Selera Deja Moss," ujarnya.
Pelapis baharu
|
Usaha yang sama dilakukan oleh penyanyi yang pernah popular dengan lagu Langit Ke Tujuh, Sharifah Zarina Wan Hassan, 31, yang menjalankan perniagaan bubur pedas Sarawak di Restoran Baso Sapi Asli di Plaza Mentari, Bandar Sunway, Selangor.
"Namun, perniagaan itu tidak kekal kerana berdepan masalah tenaga kerja dari Indonesia. Sebelum itu restoran yang khas menjual masakan Sarawak telah membuka dua cawangan di Wangsa Maju dan Bandar Sunway," katanya yang bakal muncul bersama single terbaharu berjudul Memandang Awan ciptaan Muhammad Ashraf Aasimudin.
Kegemilangan kumpulan Hujan berbekalkan kualiti muzik dan vokal penyanyi utamanya Noh atau Mohammad Noh Salleh memang tidak disangkal keupayaannya.
Noh yang berasal dari Miri, Sarawak, bukan saja berhasil mencorakkan kehidupan peribadi bersama Mizz Nina, malah dia juga menjamin kariernya menuju haluan yang betul.
Tidak kurang juga kemunculan beberapa artis baharu lain dari Bumi Kenyalang seperti juara Anugerah Juara Lagu ke-26, Hafiz AF7.
Industri hiburan tanah air juga dicorakkan dengan kelahiran bintang daripada program realiti Mentor contohnya Ila Damia dan Adi Mentor 4.
Sebelum kehadiran mereka juga, beberapa penghibur tanah air seperti Bob, Rizal, Daus, Farina dan Amir Jahari turut lahir daripada program realiti nyanyian, Akademi Fantasia.
Malah, juara Pilih Kasih musim kedua, Livonia Ricky Guing merupakan anak jati Kuching, Sarawak yang semakin bersinar bintangnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: