Monday, May 21, 2012

Memerangi pemburu tanduk badak sumbu


BADAK sumbuterancam kerana ramai pihak dalam pasaran gelap menawarkan harga ribuan dolar untuk tanduknya.


PEMBURU upahan kecil-kecilan, pegawai hidupan liar yang terbabit dengan rasuah dan pengedar dari negara-negara Asia telah diperangkap serta dikenakan hukuman.

Semua itu adalah permulaan kepada satu usaha bersungguh-sungguh memerangi pemerdagangan tanduk badak sumbu di Afrika Selatan.

Lebih 160 pesalah semasa pendakwaan di mahkamah, mendedahkan mengenai kewujudan rangkaian bekalan kompleks yang membabitkan pengguna dari Afrika Selatan hingga ke Asia Tenggara.

"Usaha pembanterasan ini mungkin kelihatan agak perlahan, tetapi kami sedang bergerak untuk menangkap lebih ramai pesalah," kata Joanie Spies seorang pendakwa yang terbabit dengan projek tersebut.

Pihak Berkuasa Pendakwaan Kebangsaan telah menubuhkan satu pasukan pembanteras sindiket berkenaan, memandangkan keadaan kian parah apabila sudah lebih 200 ekor badak sumbu dibunuh tahun ini.

Kes tersebut juga mendedahkan amalan rasuah dalam sistem yang ditubuhkan bagi melindungi haiwan-haiwan tersebut.

Pemilik syarikat swasta, renjer taman negara dan ahli veterinar juga telah ditangkap. Pihak berkuasa turut menahan juruterbang-juruterbang yang memandu helikopter untuk mengesan dan menembak pelali kepada badak-badak berkenaan.

Golongan pemburu profesional dan kecil-kecilan yang turut menembak mati haiwan tersebut tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

"Terdapat pihak tertinggi dalam organisasi yang terlibat," ujar Spies.

Pendapatan lumayan

Sebahagian daripada badak sumbu itu ditembak oleh pemburu kecil-kecilan yang inginkan pendapatan lumayan dengan menjual tanduk atau sumbunya. Lazimnya urus niaga dilakukan dengan nilai emas di Asia - benua yang menggalakkan pemburuan demi memenuhi permintaan bidang perubatan tradisional.

Walau bagaimanapun, tidak semua pemburu berkenaan tahu apa yang mereka lakukan. April lalu, seorang lelaki memotong tanduk daripada kepala badak sumbu palsu yang dijadikan hiasan di rumah persinggahan safari. Kepala badak sumbu itu diperbuat daripada gentian kaca.

Sementara itu, badak-badak lain dibunuh oleh pemburu profesional yang menggunakan helikopter bagi mengesan dan melepaskan tembakan pelali sebelum para pemburu upahan lain membunuh serta memotong sumbunya.

Sesiapapun yang menembak, tanduk-tanduk itu akhirnya jatuh ke tangan ahli perniagaan Asia yang sama, kata Spies.

Ramai rakyat Vietnam dan Thailand telah ditahan kerana cuba untuk menyeludup tanduk-tanduk badak sumbu ke luar negara.

Dalam satu kes, seorang rakyat Thai, Chumlong Lemtongthai menghadapi perbicaraan kerana bersubahat dengan pemilik sebuah ladang permainan di Afrika Selatan untuk menganjurkan pertandingan berburu.

Dia dituduh mengupah ramai orang sebagai pemburu yang kemudian akan mendokumenkan hasil buruan dengan bergambar bersama bangkai-bangkai badak sumbu itu. Semua itu demi mendapatkan lesen eksport sah bagi memasarkan tanduk-tanduk badak sumbu.

Pihak berkuasa mendedahkan, lelaki Thai itu membeli tanduk-tanduk berkenaan pada harga AS$8,400 (RM25,872) sekilogram dan menjual semula pada harga AS$55,000 (RM169,400) sekilogram.

Tanduk-tanduk tersebut selalunya diseludup melalui lapangan terbang Johannesburg atau melalui Beira dalam wilayah Mozambique. Di lokasi itu, pemantauan terhadap isu itu sangat longgar.

Tanduk-tanduk berkenaan juga mungkin diseludup melalui bungkusan kapal atau melalui bagasi tangan di bandar raya negara-negara Asia seperti di Hong Kong.

Pasaran besar


AHLI Unit Pencegahan Pemburuan Haram, Taman Negara Pilanesberg sedang menyiasat tempat kejadian pemburuan haram badak sumbu.


Pegawai-pegawai kastam di Hong Kong memberitahu, mereka telah menyita sejumlah 52 tanduk badak sumbu sejak lima tahun lalu. November lalu, mereka menemui 33 tanduk dalam satu bekas yang ditulis 'plastik sekerap'. Ia datang dari Cape Town.

Pasaran terbesar tanduk badak sumbu kini adalah Vietnam, ujar pemerhati.

"Sumber-sumber yang anda perlukan untuk menguruskan pemindahan tanduk-tanduk berkenaan dari Afrika Selatan hingga ke Vietnam, ternyata mewujudkan kesangsian tentang suatu sindiket yang besar dan teratur," kata Naomi Doak daripada kumpulan pemuliharaan TRAFFIC di Vietnam.

Sehingga kini, usaha mendakwa pihak atasan dalam sindiket berkenaan dianggap sesuatu yang sukar.

Menurut Spies, untuk menyelesaikan kes antarabangsa itu bermakna pihak berkuasa harus mengenal pasti tiga hingga empat lapis jenayah.

Setakat ini, kes-kes yang dibicarakan di Afrika Selatan sudahpun menjatuhkan hukuman yang berat buat pelakunya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: