Saturday, December 10, 2011

Zarul & The Protes ada bengkel kereta


SERING berbincang sebelum mengambil apa-apa keputusan demi menjaga keharmonian perniagaan mereka.


Menggelarkan diri mereka sebagai Zarul & The Protes, kesemua mereka kini sedang giat mengusahakan sebuah studio latihan muzik dan bengkel kereta.

Dianggotai oleh lima anak muda , Zairul Addry Helmy, 36, Mustaqim Mohd. Basir, 25, Mohd. Effendy Tajuddin, 27, Megat Adam Fatehie Megat Rosly dan Khairul Rizan Radzuan, 29, kesemuanya menyimpan impian untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka pada masa hadapan.

Menurut ketua kumpulan, Zairul Addry Helmy atau Zarul, mereka telah menggunakan wang simpanan masing -masing untuk memulakan perniagaan secara perkongsian.

"Kami telah memulakan studio latihan muzik ini sejak tahun 2009 lagi dengan modal RM250,000.

"Manakala untuk bengkel yang telah beroperasi sejak awal tahun lalu pula, modal permulaan kami sebanyak RM70,000 dan kesemua modal ini menggunakan wang kami sendiri tanpa membuat pinjaman," katanya ketika ditemui di studio latihan muzik milik mereka di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beroperasi seawal pukul 11 pagi, menurut Zarul, studio mereka beroperasi sehingga pukul 3 pagi, manakala untuk bengkel pula, bermula pada pukul 10 pagi sehingga 7 malam.

"Selalunya kami semua akan berada di studio pada setiap hari.

"Bagaimanapun untuk memudahkan urusan, kami juga mempunyai empat pekerja yang akan membantu dari segi pentadbiran di studio dan bengkel," katanya.

Sementara itu menurut vokalis kumpulan ini, Mustaqim, memandangkan usaha mereka untuk dikenali sebagai seorang usahawan masih lagi di peringkat awal, mereka terpaksa melalui tempoh yang agak mencabar buat masa ini.

"Kepercayaan yang terjalin di antara kami memudahkan kerjasama dalam perniagaan ini. Malah untuk melancarkan lagi perniagaan, kami diberi tanggungjawab dengan tugasan masing-masing agar tidak terlalu terbeban," katanya.

Katanya lagi, walaupun perniagaan mereka semakin memberangsangkan namun minat mereka terhadap bidang muzik tetap diteruskan.

"Kami mahu dikenali sebagai usahawan dan pemuzik dalam waktu yang sama. Melihatkan industri muzik kita yang semakin nazak ini, saya percaya tidak salah kami memulakan usaha kami untuk bergelar usahawan bagi menjamin masa depan yang lebih cerah," jelas Mustaqim.

Sudah pun mempunyai dua single bertajuk Luka dan Privasi, menurut Mustaqim, mereka bakal muncul dengan album pertama pada awal tahun hadapan.

"Walaupun sibuk menguruskan perniagaan ini, kami tetap mahu menerbitkan album pertama kami.

"Selain ingin meneruskan minat di dalam bidang muzik, kemunculan album pertama ini juga mampu membantu mempromosikan perniagaan kami kelak," katanya.

Mempunyai misi untuk memperkenalkan muzik mereka ke negara luar, Mustaqim memberitahu, Zarul & The Protes akan menerbitkan sebuah lagi album khas untuk pasaran Eropah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: