KUALA LUMPUR: Pelakon kacak Zain Saidin, 27, (Zain) menolak pandangan yang mendakwa gosip hubungan cintanya dengan aktres Rozita Che Wan adalah strategi yang sengaja dirancang untuk melonjakkan popularitinya.
Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin berkata persepsi liar itu adalah tidak berasas dan dia tidak pernah terfikir mengenai pendekatan sedemikian untuk meraih publisiti dengan mudah.
“Saya tidak pernah menggunakan sebarang strategi untuk popular dan tidak pernah terfikir untuk mengada-adakan cerita saya mempunyai hubungan dengan Rozita Che Wan untuk meraih publisiti.
“Secara kebetulan sahaja saya dikaitkan dengan dia dan nampaknya gosip itu terus diperkatakan sehingga hari ini,” katanya.
Zain berkata pada hakikatnya dia sudah mula dikenali sebelum gosip hubungannya dengan aktres Kiah Pekasam itu diperkatakan lagi. Justeru, katanya tidak timbul isu kononnya dia sengaja merancang strategi tersebut untuk cepat dikenali.
“Gosip adalah asam garam dunia artis. Walaupun sudah beberapa kali saya jelaskan bahawa kami hanya berkawan biasa, cerita itu terus diperkatakan. Jadi, saya terima sahaja gosip itu dengan hati terbuka,” katanya.
Bagaimanapun, Zain tidak menyangkal sejak gosip itu hangat diperkatakan, rezekinya dalam bidang lakonan semakin bertambah.
Ia sekali gus membuktikan bahawa gosip itu turut membantu dalam mengembangkan jenamanya sebagai pendatang baru.
“Saya tidak nafikan bahawa memang gosip saya dan Rozita turut memainkan peranan dalam perkembangan kerjaya saya.
“Memang benar, sejak gosip itu tersebar rezeki dalam lakonan juga semakin berkembang,” katanya.
Bercerita mengenai perkembangan terbaru, adik kepada penyanyi Sasha Saidin ini berkata dia kini mula berjinak-jinak dalam perniagaan baju-T untuk lelaki dan perempuan secara dalam talian.
Kata Zain, perniagaan baju-T berjenama ZPT Design itu diusahakan sejak dua bulan itu dan kesemua rekaannya diilhamkan olehnya sendiri. Ia dijual pada harga RM39.90 sepasang.
“Selain pilihan rekaan yang ditawarkan, pembeli juga boleh menghasilkan rekaan sendiri pada baju-T mereka. Mereka cuma perlu tambah RM10 sahaja daripada harga baju. Buat masa ini, kaedah penghantaran adalah secara pos atau boleh diambil di tempat-tempat tertentu,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, layari laman Facebook Zain Saidin di http://www.facebook.com/pages/Zain-Saidin/252092863304.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: