TUNJUK...Yahaya sewaktu mengajar di KDU.
KETIKA menuntut di sekolah menengah lebih 30 tahun lalu, beliau terpaksa berulang alik hampir setiap hujung minggu menaiki bas untuk melakukan kerja sambilan di restoran makanan segera atau hotel di ibu kota.
Malah, pada musim cuti persekolahan, ketika rakan sebaya sibuk menghabiskan masa dengan menonton rancangan televisyen atau berjalan bersama keluarga, dia mengambil upah dengan syarikat katering bagi menyediakan juadah pelbagai majlis, termasuk kenduri kahwin.
Boleh dikatakan rutin hariannya sewaktu remaja sangat sibuk. Jika tidak mengulangkaji pelajaran, pasti dia antara orang yang tidak menang tangan untuk melakukan pelbagai pekerjaan sambilan.
Itu antara jerit perit yang terpaksa dilalui Yahaya Hassan, 48, lantaran tidak mahu menyusahkan ibu bapanya.
Namun, siapa sangka dengan pengalaman ditempuhi sewaktu usia belasan tahun, namanya terkenal dalam bidang kulinari hinggakan pernah terpilih menjadi juri rancangan televisyen tempatan, Masterchef Malaysia untuk beberapa siri awal rancangan itu.
Walaupun tidak popular setaraf chef selebriti seperti Chef Wan atau Chef Ismail, bagi lelaki ini yang lebih mudah disapa Chef Yahaya, ia sudah cukup membanggakan dirinya.
Menceritakan pengalamannya dalam bidang masakan, Chef Yahya berkata, sebenarnya ia bukan cita-cita yang dipupuk sewaktu zaman persekolahan. Sebaliknya ia tersemai tanpa sedar dek kerana kebiasaan bekerja sambilan sewaktu zaman sekolah lagi.
Disebabkan hampir semua pekerjaan sambilan dilakukannya membabitkan bidang masakan, tamat saja persekolahan di tingkatan lima, dia terus memohon bekerja di sebuah kedai membuat roti dan kek.
Bermula detik itu, bidang masakan terus diterokanya kerana merasakan itu adalah kelebihan yang ada dalam dirinya.
“Saya bukan dilahirkan dalam keluarga mewah. Ayah saya anggota polis berpangkat rendah. Bilangan adik beradik juga ramai iaitu 11 orang dan saya anak ke-10.
“Disebabkan itu, ibu bapa hanya dapat menyediakan keperluan kami adik beradik sekadar cukup. Kerana tidak mahu membebankan ibu bapa, kami adik beradik melakukan kerja sambilan untuk mendapatkan duit poket lebih,” katanya.
Menurut Yahaya, tidak kira cuti hujung minggu sekalipun, jadualnya dirancang dengan teliti. Menyiapkan semua tugasan persekolahan pada sebelah malam dan kemudian pada Sabtu dan Ahad pula keluar melakukan kerja sambilan.
Apabila tiba musim cuti persekolahan panjang pula, jika tidak bekerja sambilan di hotel, dia mengikut sebuah syarikat katering yang menyediakan hidangan untuk majlis perkahwinan.
“Ketika membuat kerja sambilan, kerja saya adalah membantu di dapur. Jadi, sedikit sebanyak saya tahu selok-belok memasak, walaupun secara umumnya saya lebih sebagai pembantu di dapur.
“Saya masih ingat lagi, pekerjaan pertama selepas tamat sekolah adalah di sebuah kedai roti. Mula-mula sebagai penyedia bahan, kemudian sedikit demi sedikit saya belajar membuat pastri,” katanya.
Sebaik menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak mahu membazirkan waktu, dia berhijrah seorang diri dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk bekerja di sebuah restoran.
Walaupun membawa ‘bekal’ sedikit pengalaman, Yahaya berkata, bukan mudah untuk dia diberi tanggungjawab besar. Dia diterima sebagai tukang masak bagi memasak hidangan ringkas saja dengan gaji RM180 sebulan.
Merasakan pengalaman lebih penting berbanding gaji diterima, pekerjaan itu diterima sepenuhnya tanpa keluhan.
Bermula daripada situ, bidang masakan diterokanya dan bersama pekerja lebih senior, sedikit demi sedikit dia mempelajari selok-belok serta tips berguna mengenai masakan.
Dua tahun di sana, Yahaya memberanikan diri berhenti kerja dan dengan sedikit duit simpanan, dia mengikut seorang rakannya berhijrah ke Brunei untuk mencari pekerjaan.
“Dalam banyak-banyak pekerjaan, Brunei adalah tempat paling banyak saya timba pengalaman dalam bidang masakan. Kami pergi ke Brunei pada waktu itu tanpa tawaran kerja.
“Sudah rezeki, tak sampai seminggu dan selepas naik turun Hotel Hyatt bagi mencari pekerjaan, akhirnya saya diterima bekerja sebagai pembantu di dapur,” katanya.
Menurut Yahaya, lima tahun di Brunei, bermacam pengalaman diperolehnya. Malah, ketika di Brunei, dia merangkak dari bawah sebelum dilantik menjadi chef.
Paling bermakna apabila dia juga diberi tanggungjawab menyediakan hidangan bagi majlis yang diadakan pihak istana Brunei.
“Ini paling saya tidak dapat lupakan. Kerana tanggungjawab waktu itu besar. Hidangan yang perlu disediakan bukan untuk 100 atau 200 orang, tetapi 100,000 orang.
“Hidangan pula bukan satu jenis, sebaliknya bermacam jenis. Daripada pembuka selera, menu utama hinggalah kepada pencuci mulut.
“Alhamdulillah, saya dapat melakukannya dan lebih membanggakan, ia membuktikan bakat saya diiktiraf walaupun pada waktu itu tidak sampai 10 tahun berjinak-jinak dalam bidang masakan secara sepenuh masa,” katanya.
Selepas lima tahun merantau dan merasakan perlu mencuba dan mencari pengalaman di negara sendiri, dia kembali ke Malaysia.
Walaupun hasrat awalnya untuk mencari pekerjaan, dia mengubah fikiran apabila menyambung pelajaran dalam bidang kulinari di Singapura.
“Sebenarnya, ia di luar perancangan saya. Merasakan tidak cukup sekadar pengalaman, sebaliknya perlu diperkuatkan dengan pendidikan, saya menyambung pelajaran.
“Di situ saya mempelajari pula bidang masakan dalam etika moden. Pentingnya ilmu ini kerana saya diajar supaya lebih kreatif dalam menghasilkan masakan atau sebagai pencipta, bukan sekadar meniru jenis masakan sedia ada dan memasak untuk orang lain,” katanya.
Kini, selepas lebih 25 tahun terbabit dalam bidang masakan, Yahaya berkata, dia berbangga kerana bakatnya dalam bidang masakan dihargai.
Bukan sekadar terkenal sebagai chef, dia kini bertanggungjawab menguruskan Unit Kulinari di Kolej Damansara Utama sebagai tenaga pengajar sepenuh masa.
“Orang kata masakan adalah bidang perempuan, tapi bagi saya ia bukan bidang siapa-siapa.
“Jadi, jangan malu untuk menceburi bidang masakan kerana ia sebenarnya luas dan mempunyai peluang cerah.
“Malah, banyak peluang untuk kita berjaya dengan bidang ini tidak kira sama ada dengan menjadi chef, membuka restoran sendiri atau paling mudah, mengambil upah membuat katering bagi majlis tertentu,” katanya.
PROFIL
NAMA: Yahaya Hassan
UMUR: 48 tahun
ASAL: Ampang, Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Diploma In Kulinari, Institut Shatec, Singapura
JAWATAN: Ketua Unit Kulinari, Kolej Damansara Utama
STATUS: Berkahwin
ISTERI: Faizah Yaakub
ANAK: Amar Aliff (11) dan Yuhana (7)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: