PERASAAN seronok Nina apabila diarahkan bertugas selama beberapa hari ke luar negara kini bertukar dengan rasa berbelah bahagi.
Mana tidaknya, dia dikehendaki berada di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang juga baru pertama kali akan dijejaki, sekurang-kurangnya pada pukul 5 pagi.
Suka atau tidak, Nina memang tidak boleh mengelak daripada menempah teksi untuk ngambilnya dari rumah seawal pukul 3 pagi.
Nombor telefon teksi ke LCCT telah diperoleh dari laman web. Tetapi dia masih belum dapat membuat keputusan kerana sudah tentu pemandunya adalah lelaki.
Sekalipun Nina tidak mahu berprasangka buruk, dia tetap berhati-hati kerana perjalanan ke LCCT dari rumahnya akan memakan masa sejam dan melalui lebuh raya yang tentunya lengang di awal pagi.
Sebenarnya apa yang dialami oleh Nina adalah perkara sama yang dihadapi oleh wanita-wanita lain tiap kali memerlukan perkhidmatan teksi di waktu malam atau di awal pagi.
Walaupun setakat ini perbuatan jenayah dan gangguan seksual oleh pemandu teksi lelaki terhadap penumpang wanita di negara ini masih kecil, ia masih belum cukup untuk melenyapkan kerisauan kaum Hawa ketika menggunakan khidmat kenderaan awam tersebut terutama ketika berseorangan.
Justeru pelancaran projek Teksi Wanita baru-baru ini sememangnya berita yang ditunggu-tunggu oleh semua kaum Hawa.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Heng Seai Kei telah melancarkan Teksi Wanita sempena Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur pada 26 November lalu.
Projek itu mendapat kerjasama Abex Manufacturing Sdn. Bhd. dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Setakat ini empat syarikat bekerjasama menyediakan perkhidmatan Teksi Wanita iaitu Destination Transport, Zalnas Sdn. Bhd., Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya serta Sunlight Radio Taxi Sdn. Bhd.
Projek Dari Wanita Untuk Wanita itu bukan sahaja memberikan lebih keselesaan untuk menyewa perkhidmatan teksi pada bila-bila waktu, malah memberi peluang pekerjaan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.
Untuk permulaan, 50 pemandu teksi wanita dipilih menyertai projek perintis itu. Mereka terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan pesara.
Projek Teksi Wanita itu secara tidak langsung akan memberi peluang kepada kebanyakan wanita di Malaysia yang semakin sukar mendapatkan pekerjaan disebabkan persaingan dan juga kelayakan akademik.
Dengan menceburkan diri sebagai pemandu teksi akan membolehkan mereka menyusun jadual harian termasuk memperuntukkan masa yang berkualiti dengan anak-anak.
Selain itu dengan juga dapat meningkatkan pendapatan keluarga, pendapatan sampingan untuk menyara hidup sekeluarga.
Usaha KPWKM menerusi projek Teksi Wanita adalah untuk meningkatkan potensi kaum wanita supaya seiringan dengan pembangunan negara termasuk memperkasakan wanita di dalam sektor ekonomi.
Bagaimanapun perkhidmatan Teksi Wanita disediakan secara on call sahaja setelah pemandu menerima panggilan dari penumpang atau syarikat.
Perkhidmatan on call itu bermula pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.
KPWKM juga telah mempromosi perkhidmatan itu dengan meletakkan pelekat Teksi Wanita kepada yang teksi kumpulan perintis pemandu wanita ini supaya mudah dilihat oleh penumpang.
Penumpang yang mahukan perkhidmatan ini boleh menelefon ke syarikat yang menyediakan perkhidmatan 'Teksi Wanita' ini menerusi talian 03-80240507, 03-26926000 dan 03-88884020.
Selain itu KPWKM juga mempelawa mana-mana wanita yang berminat bekerja sebagai pemandu teksi wanita boleh menghubungi Talian NUR di 15999 atau melayari laman web www.jpw.gov.my atau Abex di talian 03-89261412 (Syamimi).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: