Sunday, December 18, 2011

Tidak menyakitkan tapi tepat


Kelebihan mesin ini menggunakan teknologi Digital Breast Tomosynthesis (DBT) yang membolehkan imej 2D dilihat daripada pelbagai sudut.


HARTA dan kekayaan tidak akan menjaga ketika kita jatuh sakit, tetapi keluarga, saudara mara dan kawan-kawan sentiasa ada di sisi apabila kita sakit," kata-kata ini sentiasa terpahat di hati bekas pesakit kanser Mila Umali Dragon, 54 sejak lima tahun yang lalu.

Mengimbas semula peristiwa tahun 2006, tiba-tiba payu dara kanannya sakit dan dia merasakan ada ketulan.

"Tiba-tiba saya merasakan ketulan pada bahagian payu dara saya. Ia tiba-tiba menjadi sakit. Saya menunggu selama dua minggu dan pada fikiran saya ketika itu, ia hanya simptom biasa pada usia 49 tahun," katanya.

Sibuk dengan kerja-kerja di rumah tetapi ia tidak dapat membantu. Ketulan itu masih ada dan masih sakit. Ketika itu suami, Peter Dragon mengadakan temujanji perubatan khusus untuk Mila dengan segera.

"Kalau ikutkan saya, saya ingin menunggu sakit ini hilang. Tetapi atas dorongan suami, saya penuhi permintaannya," ujarnya.

Mila bertuah kerana suami tersayang menjadi peneman setia di sisinya untuk berjumpa doktor.

Doktor menasihati Mila untuk melakukan mamogram .

Terdetik di hatinya, sakit tak ? Benarkah ketulan itu rasa sakit?

"Selepas beberapa hari, saya ditemani suami mengambil keputusan mamogram . Kemudian, pakar pembedahan payu dara mencadangkan saya menjalankan pembedahan segera," jelasnya.

Setelah melalui rawatan kanser payu dara, Mila masih menjalani pemeriksaan mamogram setiap tahun.

"Jika orang tanya saya, mesin mamogram yang lama 2 Dimensi (2D) memang menyakitkan. Mujurlah saya hanya perlu melakukannya setahun sekali. Namun, perasaan itu hilang apabila saya berpeluang mencuba Mamogram 3 Dimensi (3D ) Tomosintesis baru-baru ini.

Mesin ini sangat berbeza dan tidak menyakitkan. Saya sarankan pada wanita lain supaya tidak lagi berasa takut melakukan pemeriksaan mamogram," ujar Mila.

Gambar jelas

Dengan Mamogram 3 Dimensi ( 3D ) Tomosintesis, pakar radiologi dan doktor sudah boleh mengesahkan kehadiran kanser atau tidak.

"Dengan mesin ini, jarang berlaku pemeriksaan susulan. Seting pada mesin ini pula boleh saya katakan sebagai mesra pengguna dan tidak rumit untuk dikendalikan. Bahkan, gambar yang terhasil lebih baik dan jelas berbanding dahulu. Ia juga tidak menyakitkan payu dara wanita," jelas Pakar Perunding Radiologi Persatuan kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Sulaiman Tamanang.

Mesin ini merupakan yang pertama digunakan di Malaysia dan kelima di dunia. Ia mampu menghasilkan imej 3D payu dara daripada pelbagai sudut dan yang paling penting mampu memberi imej tisu payu dara dengan lebih jelas.

Antara kelebihan mesin ini menggunakan teknologi Digital Breast Tomosynthesis (DBT) yang membolehkan imej 2D dilihat daripada pelbagai sudut. Dengan DBT, imej payu dara dipotong dengan ketebalan senipis satu milimeter.

Menurut Dr. Sulaiman, ia membolehkan pakar radiologi meneliti setiap lapisan imej yang diingini. Imej juga boleh diimbas daripada pelbagai sudut berbanding dengan mesin 2D lama yang hanya boleh mengimbas secara atas ke bawah atau kiri ke kanan.

Dengan sekali tekanan, sebanyak 15 imej boleh dihasilkan berbanding mesin konvensional mamogram iaitu terhad kepada dua imej untuk setiap dua tekanan.

Pengesanan awal

"Berbanding dengan mamagrom 2D, pesakit memerlukan pemeriksaan susulan seperti melakukan mamogram pada arah yang lain atau pemeriksaan ultrabunyi bagi memastikan kehadiran kanser payu dara adalah positif. Proses ini bukan sahaja lambat tetapi menyebabkan masa dan wang terbuang.

Ini kerana, imej imbasan yang diterima dengan menggunakan mesin mamogram 2D adalah leper, manakala imej terhasil sering menimbulkan kekeliruan dengan imej mimik kanser dan kelenjar susu. Dengan sekali imbasan oleh mesin, 3D Mamogram Tomosintesis, tiada lagi pemeriksaan susulan bagi mengesahkan kehadiran sel kanser sekali gus meningkatkan pengesanan awal kanser," ujarnya.

Ia tidak bermakna menghilangkan sakit seratus peratus tetapi ia boleh memberi keselesaan kepada wanita.

"Tekanan pada payu dara hanya boleh dikurangkan dan tidak menyakitkan. Justeru, semua wanita perlu ada kesedaran untuk melakukan pemeriksaan tanpa rasa takut. Bagi wanita yang berumur 35 hingga 40 tahun, saya saran melakukan pemeriksaan sekali dalam tempoh itu. Manakala wanita 40-an, perlu membuat pemeriksaan satu kali dalam tempoh satu tahun," ujar beliau.

Pengarah Urusan NCSM pula memberitahu, pihak mereka begitu komited untuk membawa teknologi perubatan yang terkini dan moden.

"Kami membawa mesin ini khas untuk meningkatkan kesedaran di kalangan wanita tentang pentingnya membuat pemeriksaan payu dara. Kalau sebelum ini mamagrom 2D menyakitkan, mesin ini menghilangkan rasa sakit dan takut. Meskipun mesin tomografi berharga lima kali ganda daripada mesin biasa tetapi, kemampuan yang ada pada mesin tersebut dan objektif NCSM menyebabkan kami membeli mesin mamogram Holigic pertama di Malaysia. Untuk mesin 3D Mamogram Tomosistesis, bayaran yang dikenakan amat murah iaitu antara RM250 hingga RM300 untuk membuat pemeriksaan kanser payu dara, Selain itu, kami juga menyediakan pemeriksaan lain khusus untuk wanita seperti pap smear dan pemeriksaan tulang menggunakan mesin yang canggih," ujarnya.

Pada awal tahun 2000, terdapat trend yang amat membimbang apabila banyak kes-kes barah payu dara melibatkan wanita muda. Mesin mamografi yang ada ketika itu sangat terhad untuk mengesan pembentukan kanser pada wanita muda dan kepada individu yang memiliki payu dara padat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: