KUALA LUMPUR - Tindakan berani seorang lelaki menyembunyikan dadah dalam kotak makanan segera ketika menunggu pelanggan di hadapan sebuah salun kecantikan di Desa Sri Hartamas mengundang padah apabila dia ditahan polis pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, suspek berumur 40 tahun itu ditahan apabila didapati dalam keadaan yang mencurigakan.
“Polis menjumpai kotak yang mengandungi dua bungkusan yang dipercayai dadah ketamin seberat 20 kg 20 gram bernilai RM120,000. Suspek itu ditahan reman sehingga 17 Disember ini, lelaki itu juga mempunyai rekod jenayah,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dekat sini, semalam.
Dalam operasi berasingan, polis berjaya menahan empat lelaki dalam satu serbuan di sebuah stor di tingkat bawah sebuah bangunan di Jalan Bukit Pantai, petang semalam.
“Salah seorang suspek berumur 30 tahun itu yang juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah tidak pernah ditahan sepanjang penglibatannya sejak 12 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas lima bungkusan berisi daun kering dipercayai ganja seberat 587 gram bernilai RM1,200.
“Lelaki itu dan tiga rakannya yang berumur antara 23 hingga 27 tahun itu yang juga pekerja syarikat pengurusan bangunan itu didapati positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: