Wednesday, December 28, 2011

SOROTAN 2011 : Panas & Kontroversi Santapan Dunia Selebriti

PETALING JAYA: Dunia seni tanah air tidak pernah suram dengan pelbagai cerita panas dan kontroversi artis yang sentiasa menjadi perhatian peminat.

Seperti tahun-tahun sebelum, 2011 juga mencatatkan pelbagai cerita kurang enak yang melibatkan segelintir artis dan mStar Online menyingkap kembali beberapa peristiwa menjadi bualan peminat.

1. Rozita Che Wan - Antara Shahir dan Zain Saidin

Rozita Che Wan menutup tahun 2010 dengan kontroversi apabila mengumumkan akan bersara daripada dunia lakonan sepenuhnya pada tahun 2011.

Namun wajah jelita pelakon kelahiran Sungai Petani, Kedah ini terus menghiasi kaca televisyen dan muka hadapan majalah apabila menyatakan tidak jadi bersara kerana tawaran lakonan diterima cukup banyak.

Belum reda kecaman daripada masyarakat mengenai 'cakap tak serupa bikin', Rozita terus menghangatkan 2011 dengan kontroversi dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelahiran Akademi Fantasi, Shahir dan pasangannya dalam drama bersiri popular, Kiah Pekasam, Zain Saidin.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka menafikan dakwaan itu dan memberitahu mereka menjadi mangsa gosip dan hanya rapat sebagai kawan.

2. Konflik Pekida, KL Gangster dan Kongsi

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) berang apabila filem KL Gangster arahan Shamsul Yusof dan filem Kongsi arahan Farid Kamil didakwa menggunakan kata kunci pertubuhan itu yang selama ini dianggap rahsia selain dikatakan menggambarkan Pekida sebagai sebuah kumpulan gengster orang Melayu.

Pekida Wilayah Persekutuan tempoh seminggu kepada Skop Production dan Metrowealth untuk membuat permohonan maaf kerana telah mempersendakan pertubuhan itu.

Kedua-dua pihak bagaimanapun enggan memohon maaf kerana menegaskan apa yang diangkat di dalam filem tersebut adalah tiada kena mengena dengan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, penerbit KL Gangster, Datuk Yusof Haslam mengambil jalan tengah apabila menyatakan ingin berdamai dengan Pekida dan memohon maaf kerana telah menyinggung perasaan pertubuhan itu.

Majlis yang berlangsung pada 17 Jun itu turut dihadiri oleh Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Datuk Roslan Dahaman dan penerbit filem, David Teoh.

3. Arah Video Berunsur Lucah, Gambit Dikecam

Pertama kali mengarahkan klip video untuk penyanyi Prema Yin berjudul Marilah nyata memberi impak besar kepada kerjaya seni pelakon, Gambit Saifullah apabila ia dikatakan mempamerkan aksi bertentangan dengan budaya masyarakat negara ini.

Dalam klip terbabit, Shahz Jazle dan Prema Yin dilihat melakukan aksi hampir-hampir bercium, berpeluk serta melakukan adegan seperti sedang berada dalam keadaan berahi.

Gambit juga didakwa sengaja berbuat demikian bagi meraih publisiti murahan khususnya peminat industri hiburan tanah air.

Pelakon itu menjelaskan klip video tersebut dihasilkan mengikut perbincangan daripada pihak produksi dan klien yang mahukan ia mengikut standard klip video artis luar negara.

Dia menganggap video tersebut tidak berunsur lucah dan keterlaluan seperti mana yang dipersoalkan oleh sesetengah pihak.

Malah menurutnya, ia tidak seharusnya dijadikan kontroversi kerana hanya memaparkan adegan yang dianggap 'biasa'.

4. Raja Azmi Perosak Rumah Tangga Roslin Hashim

Tidak kering dengan pelbagai kontroversi, penerbit filem, Raja Azmi sekali lagi dikaitkan dengan penceraian kali kedua jaguh badminton, Roslin Hashim apabila dia dituduh berkhalwat dengan Roslin sewaktu serbuan dilakukan ke atasnya oleh isteri Roslin iaitu Norhayati bersama dua adiknya serta Jailani di bilik bernombor 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini kira-kira pada pukul 8.30 malam.

Bagaimanapun Raja Azmi menafikan dakwaan telah melakukan khalwat bersama Roslin seperti didakwa oleh isteri Roslin sehingga kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Penerbit filem ...Dalam Botol itu juga berang apabila beberapa kali kesnya itu ditangguhkan di mahkamah sehingga menyebabkannya berang.

Bagaimanapun, kes berkenaan selesai apabila tiada sebarang pendakwaan dikenakan terhadapnya oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi).

Rentetan daripada itu, Raja Azmi dalam satu sidang media khas menyatakan ingin menyaman tiga individu yang dikenal pasti menjadi penyebab kepada kemelut itu.

5. Marsha Tolak Dakwaan Bunuh Diri

Pelakon dan penyanyi jelita, Marsha didakwa telah cuba membunuh diri dengan menelan pil akibat kecewa dengan percintaannya yang putus di tengah jalan.

Ekoran itu, dia telah dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan telah memanaskan lagi spekulasi yang terpalit padanya.

Kecewa dengan tuduhan itu, Marsha dalam satu sidang media berkata, dia tidak pernah terfikir untuk melakukan perbuatan bodoh iaitu membunuh diri hanya kerana putus cinta dengan menelan 30 biji pil seperti yang didakwa.

Marsha berkata, dia tidak menafikan percintaan dia dengan seorang lelaki berbangsa Melayu sebelum ini sering menghadapi masalah, tetapi hal tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

6. Sengketa Johan As’ari-Izreen Azminda.

Mengakui pernah membenci Johan ketika bersama-sama berlakon dalam siri popular, Juvana, pelakon Izreen Azminda bagaimanapun pernah memberitahu kebencian itu telah memaut hatinya kepada pelakon berusia 25 tahun itu.

Bagaimanapun, kasih sayang antara mereka tidak lama apabila Izreen dikatakan berang dengan Johan yang bergambar mesra dengan pelakon Fasha Sandha untuk poster promosi drama Cinta Elysa.

Tidak terhenti di situ, persengketaan mereka bertambah hangat apabila Johan enggan mengaku tentang status hubungan mereka yang didakwa Izreen bermula pada Mei lalu.

Izreen mendakwa, Johan sebelum ini pernah mengaku mencintai dan menyayanginya melalui rakaman video, gambar dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Johan pula dalam kenyataan balas menyatakan kecewa dengan tindakan Izreen yang bertindak mengeluarkan kenyataan berbaur negatif tentangnya kepada media.

Menurut Johan, Izreen sepatutnya berjumpa dan menyelesaikan masalah ‘cinta’ mereka terlebih dahulu sebelum menggembar-gemburkan perkara itu kepada orang ramai.

Mereka kini tidak lagi mempunyai hubungan cinta dan Izreen pula bakal bertunang dengan seorang jejaka Mohammad Riza Baharuddin pada 1 Januari ini.

7. Antara 'Sedetik Lebih' dan 'Penakut'

Kesilapan pada pemilihan pemenang bagi kategori Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM18) lalu telah mengheret penyanyi antarabangsa, Yunalis Zarai dalam kancah kontroversi.

Lagu ciptaannya, Penakut yang dinobatkan dalam anugerah itu ditarik balik dan mengumumkan pemenang baru iaitu lagu Sedetik Lebih ciptaan komposer, Edry Abdul Halim.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18 dari Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berkata terdapat kesilapan pengiraan undi dibuat oleh juruaudit luar rasmi, AIM 18, Ernst & Young yang mengakibatkan kesilapan pengumuman pemenang pada malam, 12 November lalu.

Rosmin berkata pembetulan ini adalah bagi memastikan integriti anugerah AIM dapat dipelihara dan pihaknya turut memohon maaf kepada Yuna, Edry dan Anuar Zain atas kesilapan tersebut.

Sementara itu, Yuna mengakui terkejut dengan perkara tersebut, namun menghargai usaha penganjur AIM untuk membetulkan kesilapan yang berlaku.

Manakala Edry menerima keputusan ini dengan terbuka biarpun telah menerima kemenangan Yuna sebagai pemenang kategori tersebut.

8. Chef Wan Berang Dengan Anak Sendiri

Chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan berang dengan anak lelakinya serta melemparkan kata-kata 'pedas' ekoran tindakan anaknya yang didakwa menipu mengenai pengalaman bekerja di luar negara dalam resumenya.

Chef Wan berkata, anak lelakinya, Mohd Nadzri Redzuwan (chef Riz) yang kini menjadi juri dalam rancangan masakan popular di saluran Astro Ria, Master Chef Malaysia perlu menghadapi akibat daripada perbuatannya itu.

Beliau telah memarahi anaknya lelaki tunggal itu sambil menyifatkan tindakan Chef Riz lebih teruk daripada seorang pelajar yang menipu dalam kelas.

Sebelum ini, Chef Riz didakwa menipu dalam resume sebagai juri Masterchef Malaysia yang dipaparkan dalam laman web Astro Ria.

Dalam resume berkenaan Chef Riz dilaporkan pernah bekerja sebagai ketua chef dan penolong ketua chef di sebuah restoran Itali terkenal New York, Babbo dan restoran Perancis, Le Bernadin.

Bagaimanapun, kedua-dua pemilik restoran berkenaan, chef selebriti, Mario Batali dan Eric Ripert menyangkal kenyataan tersebut dan mendakwa Chef Riz tidak pernah bekerja di sana.

Chef Wan berkata anak sulungnya itu perlu memohon maaf kepada semua dan menerima tindakannya yang kurang bijak itu.

9. Kritikan Pedas, Adlin Aman Berang Dengan Chef Wan

Pelakon Adlin Aman Ramli baru-baru ini telah melancarkan 'Perang Facebook' terhadap juri tetap program Maharaja Lawak Mega (MLM), Datuk Redzuwan Ismail apabila dia bengang dengan komen negatif dalam entri Facebook milik Chef selebriti itu selain sering menerima kritikan pedas sewaktu melakukan persembahan di MLM.

Dalam beberapa entri, Chef Wan menyifatkan Adlin sebagai kurang sopan kerana pernah mempersendakan arwah bapanya sendiri iaitu pelakon A.R Tompel dalam persembahan yang dibawakan selain lawak yang dibawa tidak menjadi.

Adlin pula menolak dakwaan tersebut dan menganggap Chef Wan tidak faham dengan lawak yang dipersembahkan.

Chef Wan dalam satu kenyataan berkata, beliau enggan bersemuka dengan Adlin ekoran rasa kurang senang pelakon itu terhadapnya selepas dikritik hebat sepanjang program Maharaja Lawak Mega (MLM) berlangsung.

Chef Wan berkata, tidak ada keperluan untuk menjernihkan keadaan selepas Adlin yang tersingkir daripada MLM pada minggu ketujuh konsert itu, melancarkan 'perang status' di laman sosial Facebook.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: