Thursday, December 15, 2011

Sedap mata memandang

MENAWAN...gaya moden dan ringkas menjadi ilusi untuk dandanan pengantin 2012.
MENAWAN...gaya moden dan ringkas menjadi ilusi untuk dandanan pengantin 2012.

SELAIN solekan dan pakaian, dandanan rambut adalah elemen penting yang mempengaruhi penampilan seseorang. Namun sering kali unsur kecantikan ini jarang diketengahkan terutama dalam pertunjukan gaya rambut, berbeza dengan industri fesyen yang mempunyai tapak sendiri serta sering menerajui pentas peragaan apabila musim bertukar.

Jika warna, fabrik dan potongan menjadi asas dalam rekaan busana, industri dandanan rambut juga apa kurangnya. Berubah merentas masa, tahun demi tahun seiring dengan kemajuan industri dandanan rambut Malaysia.

  • Foto

    ILUSI...pendandan menzahirkan ilusi gaya rambut melangkaui batas sepadan.

  • Foto

    MUDAH DIURUS...teknik potongan pendek dan mudah diurus bakal diketengahkan pada tahun hadapan.

  • Foto

    SIBER...gaya alam maya, moden tetapi hanya sekadar ilusi.

  • Foto

    MELANGKAUI SEMPADAN...dandanan yang hanya ilusi semata-mata.

  • Foto

    BERANI...mungkin ini bukan gaya rambut sebenar, tetapi keberanian dalam mendandan menjadi idea bagi menzahirkan kreativiti.

  • Foto

    LIM...optimis kepada industri dandanan rambut yang berkembang pesat.

  • Foto

    MUDAH DIURUS...rambut dengan potongan pendek dan mudah diurus menjadi gaya semasa menjelang 2012.

Bagi Presiden Persatuan Pendandan Malaysia, Billy Lim, menjelang 2012, dia optimis gaya dandanan akan berubah kepada konsep semula jadi tanpa merubah terlalu banyak keadaan. Ini bermakna, gaya rambut yang mudah diurus, menonjolkan kecantikan sedia ada tanpa menggunakan banyak warna menjadi gaya semasa dan akan menjadi ikutan sama ada lelaki mahupun wanita.

“Dari segi potongan untuk 2012, sama ada pendek atau panjang, kedua-duanya mengambil pendekatan lebih senang dan mudah iaitu mengekalkan gaya mudah diurus, lembut dan tidak ganas.


“Dalam bahasa yang lebih mudah, sedap mata memandang. Warna pula akan mengekalkan rona semula jadi tanpa banyak campuran, sama ada gelap atau terang. Tiada lagi warna yang terlalu funky atau ranggi tetapi kembali kepada cita rasa asal sesuai budaya Malaysia,” katanya yang berucap ketika Malam Gala dan Pertunjukan Fesyen Rambut anjuran Persatuan Pendandan Malaysia (MHA).


Selain menghimpunkan pendandan terkenal Malaysia, majlis yang berlangsung buat kali kelima ini diibaratkan sebagai malam ala Oscar bagi pendandan rambut kerana bukan saja dihadiri selebriti, malah disokong model, pereka fesyen, jurusolek dan pengedar jenama rambut.

“Majlis ini sangat penting kerana selain memberi peluang kepada pendandan bergaul, bertukar pendapat serta menjalin hubungan lebih erat, ia juga dapat menonjolkan profesion ini secara lebih dekat, sekali gus memberi penghargaan kepada pendandan serta pengeluar produk untuk sama-sama menjalin kerjasama,” katanya.

Dulu industri dandanan rambut tiada hala tuju atau pentas untuk menjalinkan hubungan erat. Ini dapat dilihat apabila wujudnya keadaan berpecah-belah, persaingan antara satu sama lain dan perkara yang tidak sihat berlaku dalam industri. Oleh itu, jawatankuasa MHA serta ahlinya sentiasa bertungkus-lumus membangunkan standard dan membentuk kayu ukur dalam bidang ini supaya ia dapat dimajukan seperti negara maju.

“Malah sejak MHA ditubuhkan, bidang gaya rambut di Malaysia menjadi semakin matang, bersatu padu, menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan dan semua pihak bagi membentuk pendandan yang aktif dan berwawasan. Saya sentiasa merayu, memujuk, memberi motivasi dan bekerja keras demi memajukan industri dandanan rambut di Malaysia sebaris dengan negara luar,” ujarnya.

Sepanjang majlis berlangsung, penonton turut diserikan dengan persembahan pertunjukan fesyen rambut daripada pendandan terkenal Malaysia.

Walaupun kebanyakan rekaan yang diketengahkan berkonsepkan sesuatu yang dianggap keterlaluan atau luar biasa, ini menunjukkan kebolehan serta kematangan industri rambut Malaysia yang berfikir di luar jangkaan serta melepasi ilusi minda.

Secara tidak langsung setiap rekaan memberi inspirasi kepada pereka tempatan untuk mengekalkan konsep tempatan berasaskan ciri-ciri dan budaya Malaysia serta mengikut stail rambut masyarakat di sini.

Bertemakan Fiesta Rambut Ilusi, hampir keseluruhan pendandan mengetengahkan gaya rekaan generasi baru atau 1Malaysia yang berlangsung di Hotel Shangri-la Kuala Lumpur. Ini dapat dilihat menerusi keunikan gaya tempatan dan bebas daripada pengaruh luar.

Menurut Lim, tema Fiesta Ilusi Rambut diambil kerana ilusi boleh ditafsirkan sebagai pemikiran tiada batasan, tanpa kongkongan tradisi atau bebas menzahirkan kreativiti atau boleh dikatakan sebagai gaya rekaan rambut berilusi bebas.

“Ilusi ini juga akan melahirkan pendandan rambut mengikut trend Malaysia atau Kuala Lumpur pada masa akan datang dan bukannya datang dari New York, London atau Paris,” katanya.

Antara pendandan hebat yang mengetengahkan idea mereka iaitu Andy Ho daripada Andy Ho Haute Coiffure, Elvin Soh daripada E Voque Hair & Beauty Studio Academy, Lois Lee daripada Lois Lee Salaon, Miko Au daripada Miko Hair Studio, Shawn Long daripada Shawn Cutterler, Steward Chee daripada CHK Hair Academy, Lewis Fong daripada Cutting Edge The Hair Salon dan Steve Chung daripada I Pro Hair salon.

Selain itu, turut serta Dickson Low daripada A Cut Above, Simon Kim daripada Hair Impression & Beauty Academy, Low Dick Tim daripada Albert Nico Boutique Salon and Russell Tao daripada Code 6 Hair Studio, Hadi daripada Khal Hair Salon, Riw daripada Niko Hair & Beauty, Sebastian Tan daripada Pepito Hair Studio Ben G daripada Restyle Salon di samping kumpulan pendandan Indonesia iaitu Persatuan Pendandan Rambut dan Pakar Kecantikan Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: