nik aziz

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengadakan pelbagai bentuk program bagi memastikan sasaran dikunjungi 6 juta pelancong bersempena Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK@12).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sasaran itu tidak susah untuk dicapai memandangkan peningkatan kemasukan pelancong ke negeri ini dari setahun ke setahun.

Menurutnya, 3.1 juta pelancong domestik dan 4.2 juta pelancong antarabangsa ke negeri ini dari Januari hingga Oktober tahun ini.

“TMK@12 lebih menyasarkan pelancong dari negara serantau seperti Singapura, Thailand, Indonesia, China dan Jepun.

“Kemasukan ramai pelancong membantu mengembangkan ekonomi rakyat negeri ini kerana rekod menunjukkan lonjakan memberangsangkan,” katanya.

Pada 2008 dan 2009 katanya, sektor pelancongan menjana RM1.8 bilion dan untuk tahun 2010 menjana pendapatan RM1.4 bilion.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra-Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2012 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

Takiyuddin berkata, Pelancaran TMK@12 secara gilang-gemilang akan diadakan pada Februari.

Katanya, promosi mengenai giat diadakan seperti misi menawan puncak Gunung Kinabalu, konvoi motosikal berkuasa tinggi ke utara semenanjung, konvoi Volkswagen ke selatan dan tengah semenanjung.

“Kita mengadakan program silang budaya dengan Acheh yang juga digelar Negeri Serambi Makkah, selain bekerjasama dengan Perak yang turut mengadakan tahun melawat negeri itu tahun hadapan,” katanya.

Untuk tahun 2012 katanya, program bertaraf antarabangsa diatur bagi menarik kedatangan pelancong seperti Pesta Wau, Pesta Air, Pesta Makanan dan Buah-buahan, Pesta Burung Ketitir dan Kilauan Emas Sedunia.

Sesuai dengan perkembangan Kelantan yang menjurus kepada agama katanya, Pelancongan Agama diperkenalkan bagi memastikan pelancongan mendapat manfaat atau ibadat daripada melancong.