SEREMBAN - Seramai lima pelanggan yang sedang leka bermain judi menerusi Internet terkejut apabila sekumpulan penjenayah menembak pintu premis judi berkenaan untuk menyamun, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 5.50 pagi di Taman College Heights, dekat sini apabila empat penjenayah terbabit melepaskan lima das tembakan mengenai pintu besi kedai yang menempatkan beberapa buah mesin judi itu.
Akibatnya, satu peluru tembakan berkenaan terkena pada bahagian kepala salah seorang pekerja premis.
Penjenayah terbabit dikatakan yang menaiki sebuah kereta melepaskan tembakan pada pintu yang tertutup rapat dipercayai mahu masuk ke dalam premis untuk menyamun.
Bagaimanapun, cubaan samun tersebut gagal kerana pintu besi kedai tertutup rapat dan berkunci menyebabkan kesemua suspek mengambil keputusan melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya kini masih menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.
“Kes masih dalam siasatan dan kita akan siasat motif kejadian sama ada niat samun atau sebaliknya. Kedai judi siber yang beroperasi selama 24 jam itu juga dipercayai haram,” katanya.
Menurutnya, pekerja premis terbabit iaitu seorang lelaki warga Indonesia yang cedera di bahagian kepala kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini dan dilaporkan stabil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: