Pesakit naik angin tikam doktor

GEORGETOWN - Seorang doktor klinik swasta cedera di bahagian rusuk kirinya apabila ditikam pesakit yang dipercayai berang berikutan nombor gilirannya lambat dipanggil pembantu klinik berkenaan.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara suspek dengan pembantu klinik di Jalan Magazine dekat sini malam kelmarin.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam apabila suspek mempertikaikan tindakan pembantu klinik itu yang enggan membenarkannya mendapatkan rawatan tanpa membuat pendaftaran berikutan sudah mengunjungi klinik itu Rabu lalu.

“Pertikaian antara suspek dan pembantu klinik itu berpunca selepas suspek mengunjungi ke klinik berkenaan pada Rabu lalu dan tidak berpeluang mendapatkan rawatan disebabkan nombor gilirannya yang agak lambat.

“Bagaimanapun, suspek sekali lagi datang ke klinik itu malam ini (malam kelmarin) dan enggan membuat pendaftaran semula dengan alasan sudah mendaftar pada hari sebelumnya,” katanya.

Difahamkan, suspek berusia 67 tahun itu bertindak menyerang doktor terbabit dalam bilik rawatan menggunakan sebilah pisau memotong buah.
Ketika kejadian terdapat kira-kira 10 pesakit sedang menunggu untuk mendapat rawatan.

Saksi kejadian, Lim Teong Lean, 36, berkata, dia menyedari kejadian itu sebaik mendengar jeritan daripada seorang pembantu klinik wanita.

Menurutnya, kekecohan berlaku semasa suspek memasuki ke bilik rawatan sebaik doktor cuba meleraikan pertengkaran terbabit.

“Suspek dipercayai bertindak mengeluarkan pisau dan terus menikam mangsa. Tindakan pantas suspek menyebabkan doktor tidak sempat berbuat apa-apa dan pisau itu terus terkena di bahagian rusuk kirinya.

“Dalam keadaan cemas, saya bersama pesakit lain sempat mententeramkan suspek namun dia (suspek) terus bersikap agresif. Melihat keadaannya itu, kami kemudiannya bertindak mengikat suspek untuk mengelak dia mengamuk dan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku sementara menunggu kedatangan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu berdepan kemurungan disebabkan kematian isterinya dan pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian. Pemeriksaan kesihatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah termasuk penyakit mental dan kita masih menahannya untuk siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, doktor berkenaan sudah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Gleneagles Pulau Pinang dan dia mengalami cedera di rusuk kiri akibat terkena tikaman sedalam empat sentimeter(cm),” katanya.

Kong Meng berkata, polis turut merampas pisau memotong buah yang dipercayai digunakan suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.