
MELAKA – Seorang pemilik kilang mi didenda sebanyak RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah didapati bersalah menggunakan bahan pengawet asid benzoik pada kadar yang tidak dibenarkan dalam produk makanan keluaran syarikatnya.
Majistret Syajaratudur Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Ah Lek, 59, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan bahan pengawet iaitu asid benzoik dengan kadar 770mg/kg dalam produk kuetiau yang dikeluarkan pihaknya.
Kadar tersebut melebihi kadar bahan pengawet yang dibenarkan ditambah dalam makanan pasta seperti yang dinyatakan dalam peraturan 20(3) dibaca bersama peraturan 63 peraturan-peraturan makanan 1985.
Kuetiau tersebut dijual di premis Blok B, SB 4 Pasar Borong Batu Berendam pukul 4 pagi 17 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh disiasat di bawah Seksyen 13B(1) dibaca bersama 13B(2)(d) Akta Makanan (pindaan) 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13B(4) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: