|
BESUT – Seorang penjenayah yang menjadi mangsa belot rakan sendiri bukan sahaja ditinggalkan selepas cubaan mencuri kereta tidak berhasil malah dia cedera teruk selepas kepalanya dijadikan karung tinju oleh penduduk yang membelasahnya baru-baru ini.
Kejadian malang pukul 5 pagi Isnin lalu itu berlaku apabila suspek berusia 37 tahun tersebut bersama seorang lelaki dan seorang wanita cuba melarikan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback milik seorang lelaki berumur 32 tahun di Kampung Limbungan dekat sini.
Insiden disedari oleh pemilik kereta sebaik terdengar bunyi enjin kenderaannya yang dihidupkan oleh salah seorang suspek. Kesemua suspek datang ke situ dengan menaiki sebuah kereta Proton Iswara.
Sebaik keluar, dia mendapati seorang wanita berada di tempat duduk pemandu sebelum suspek terus melarikan keretanya.
Dia bersama penduduk kemudian berlari untuk mengejar wanita itu sebelum ternampak dua rakan wanita itu sedang menolak kereta Iswara mereka yang tiba-tiba rosak tidak jauh dari rumahnya.
Dua lelaki itu yang terkejut cuba melarikan diri sebelum salah seorangnya dapat ditangkap lalu dibelasah hingga kepalanya berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria ketika dihubungi memberitahu, polis menemui kereta mangsa yang ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Nail, Kuala Besut pada pukul 8.30 malam kira-kira enam kilometer dari rumah mangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: