Saturday, December 10, 2011

Penculik ahli perniagaan didakwa


FONG Siang dibantu oleh seorang anggota polis ketika hadir ke Mahkamah Majistret Muar semalam.


MUAR – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menculik sehingga menyebabkan mangsanya ditemui mati dalam sebuah tong berisi simen di Parit Punggor Darat di sini pada 21 Mac 2009 lalu.

Tertuduh, Teow Fong Siang, 28, didakwa menculik ahli perniagaan Koh Wei Seang, 21, dengan tujuan mendapatkan wang tebusan sebanyak RM100,000 daripada keluarga mangsa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh seorang penganggur didakwa menculik Wei Seang di hadapan sebuah rumah di Taman Melor, Jalan Jabbar, Parit Jawa di sini pada pukul 2.30 pagi 17 Mac 2009 hingga pukul 10 malam 20 Mac 2009.

Fong Siang didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat.

Pertuduhan kes tersebut dibuat di hadapan Majistret Roslinda Razali dan tertuduh yang bertongkat kerana pernah terlibat dalam kemalangan sebelum itu mengangguk faham bagi pertuduhan itu.

Roslinda menetapkan kes itu disebut semula pada 10 Januari 2012.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor R. Balakrishnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: