Pelajar rempit, curi motosikal

TAIPING – Pelajar berusia 14 tahun antara empat remaja yang ditangkap dalam operasi membanteras mat rempit awal bulan ini atas kesalahan mencuri motosikal dan merempit.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner, Yusuf Mohd Diah berkata, sebanyak 12 motosikal disita dan lapan saman dikeluarkan kepada pemilik dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, dua motosikal curi adalah berkaitan dengan laporan kecurian di Gunung Rapat, Ipoh pada 23 September lalu manakala sebuah lagi didapati hilang di Taiping pada 8 November lalu.

“Pelajar ini didapati mencuri motosikal di Gunung Rapat Ipoh sementara remaja berusia 19 tahun mencuri motosikal di Taiping.

“Kesemua empat remaja ini di reman selama empat hari dan akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya.

Yusuf berkata, dua daripada remaja itu akan didakwa di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu dalam keadaan berbahaya.

“Jika sabit kesalahan boleh di penjara enam bulan, denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Manakala dua remaja lagi ditangkap kerana terbabit kes curi motosikal dan akan didakwa di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan penjara mandatori tidak kurang satu tahun atau tidak lebih tujuh tahun dan dikenakan denda,” katanya.

Sementara itu, pihaknya menjalankan operasi di lokasi Kamunting, Changkat Jering; Jalan Kota Taiping, Stesen Bas Kamunting, Yawata Kamunting dan Batu 2 ½ Jalan Simpang.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan pihak

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); iaitu nombor kecil yang tidak boleh dibaca, ekzos diubah suai dan mengeluarkan bunyi bising.

Katanya, sepanjang Januari hingga 6 Disember lalu, seramai sembilan remaja ditangkap kerana kesalahan merempit.

“Hampir 80 peratus kegiatan merempit ini dilakukan ketika cuti sekolah terutama remaja lingkungan 14 hingga 20 tahun.

“Mereka dikatakan menjalankan aktiviti sekitar jam 1pagi hingga jam 4.30 pagi,” katanya.