BANDA HILIR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok dari sebuah negara jiran, yang turut menyaksikan seorang pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam rampasan yang dianggap sebagai antara terbesar tahun ini, penguat kuasa JKDM Melaka merampas 20,000 karton rokok putih dengan nilai RM200,000 dan cukai tidak berbayar sebanyak RM1.98 juta.
Pemandu lori lapan tan yang ditahan dalam operasi di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Baru, kira-kira jam 6.35 petang kelmarin itu telah ditahan reman selama 10 hari bagi membantu siasatan.
Pengarah JKDM Melaka, Datuk Mohd Nasir Said berkata, bertindak atas maklumat orang ramai serta intipan, penguat kuasa JKDM Melaka berjaya mengesan sebuah lori lapan tan di laluan keluar di Bangunan Sultan Iskandar.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati rokok berkenaan dipercayai cuba diseludup dari sebuah negara jiran ke satu tempat transit sebelum diedarkan ke beberapa negeri, termasuk Lembah Klang.
“Pemeriksaan di dalam kabin pemandu juga mendapati ada dua plat pendaftaran palsu dipercayai digunakan untuk mengaburi mata pegawai penguat kuasa. Selain itu, nombor pendaftaran digunakan lori itu juga palsu.
“Pemeriksaan awal pada kotak rokok yang dibawa mendapati ianya tidak dibayar cukai serta tidak dilekatkan dengan setem cukai Malaysia,” katanya kepada media di pejabat Bahagian Penguat Kuasa JKDM Melaka, di sini semalam.
Turut serta, Ketua Bahagian Penguat Kuasa JKDM Melaka, Abdul Manan Muda.
Mohd Nasir berkata, cubaan menyeludup ini dipercayai didalangi sindiket serta modus operandi sama.
Menurutnya, JKDM Melaka turut mengesyaki sindiket yang sama ini turut terbabit dalam usaha menganggu gugat pegawai penguat kuasa JKDM Melaka semasa mereka menjalankan operasi.
“Sehingga kini, lebih 10 orang anggota sindiket ini sudah ditangkap. Namun, ia masih berdegil dalam usaha menyeludup rokok ke negara ini,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: