Hartanah-emas-pilihan

Pasaran harta dijangka sederhana tahun depan dengan harga berkemungkinan me­nyaksikan pembetulan kecil disebabkan persekitaran ekonomi global yang rapuh de­ngan krisis hutang Euro yang belum selesai dan ekonomi AS yang berterusan lemah.

Presiden Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta Pusaka dan Perunding Harta dalam Sektor Swasta atau PEPS yang baru menamatkan tempoh jawatannya, James Wong berkata, pembetulan harga akan dapat dilihat dalam sektor pejabat, kondo mewah dan pangsapuri berperkhidmatan di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Harga bagi harta tanah sektor industri dan peruncitan, bagaimanapun, masih stabil,” katanya pada satu taklimat media mengenai Sidang Kemuncak Harta Malaysia kelima 2012 yang akan diadakan pada 17 Januari tahun depan di Pusat Konvensyen Sime Darby.

Beliau berkata, pembeli berpotensi juga berkurangan kerana bank-bank mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati terhadap pemberian pinjaman dan langkah-langkah mengetatkan peraturan bagi pembelian harta seperti nisbah 70 peratus pinjaman berbanding nilai bagi pembelian harta ketiga.