Saturday, December 10, 2011

Optimis lepasi sasaran

BANGGA...Shazalli (kanan) bersama Ketua Pegawai Kewangan Celcom Axiata, Chari TVT menunjukkan graf kemuncak kejayaan syarikat mereka pada tablet masing-masing.
BANGGA...Shazalli (kanan) bersama Ketua Pegawai Kewangan Celcom Axiata, Chari TVT menunjukkan graf kemuncak kejayaan syarikat mereka pada tablet masing-masing.

CELCOM Axiata Bhd yakin dapat melepasi sasaran pendapatan RM2.2 bilion pada suku keempat serta mencapai semua Indeks Prestasi Utama (KPI) syarikat yang ditetapkan bagi tahun kewangan ini hasil prestasi kukuh suku ketiga 2011 yang direkodkan sebanyak RM1.8 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, prestasi itu disokong pertumbuhan kukuh yang dicapai semua petunjuk utamanya berbanding suku kedua lalu dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) meningkat satu peratus kepada RM816 juta dan keuntungan bersih melonjak empat peratus kepada RM531 juta.


Katanya, keputusan suku ketiga yang diumumkan semalam juga adalah kukuh dengan pertumbuhan pendapatan positif 22 suku berturut-turut. “Suku ketiga ini penting kepada syarikat mengekalkan momentum pertumbuhan kami sebelum ini walaupun dalam persekitaran pasaran mencabar dan tepu khususnya bagi segmen perniagaan suara, namun kami kekal fokus terus mengembangkan perniagaan akses data dan kandungan.

“Justeru, tahun depan syarikat terus mengutamakan perkhidmatan bukan suara dan memberi penekanan kepada akses data dan tawaran kandungan kreatif tanpa menjejaskan strategi syarikat meningkatkan sumbangan perniagaan suara,” katanya selepas mengumumkan keputusan tahun kewangan ketiganya tahun ini di Kuala Lumpur, semalam.


Shazalli berkata, jumlah pelanggan jalur lebar mudah alihnya terus meningkat, melepasi paras 900,000 pelanggan dengan pertambahan 15 peratus pengguna daripada tahun lalu, sekali gus mengesahkan kedudukan syarikat sebagai penyedia jalur lebar mudah alih utama negara. Beliau berkata syarikat itu memperuntukkan RM900 juta bagi perbelanjaan modal untuk tahun depan, menumpukan terutama kepada pengukuhan rangkaian dan keupayaan teknologi maklumat selaras dengan persekitaran yang sentiasa berubah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: