hampir ditetak

PADANG LALANG – Seorang warga emas nyaris menjadi mangsa amukan seorang pemuda apabila lehernya diacukan dengan parang dalam satu perselisihan faham yang tercetus antara mereka.

Bagaimanapun, perselisihan terbabit diatasi apabila tindakan pantas ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tasek berjaya meleraikan perselisihan faham itu sebelum leher warga emas berkenaan menjadi mangsa tetakkan.

Ahli JKKK Tasek, Abdul Rahman Mohd Yusof berkata, perselisihan faham itu tercetus apabila tanah milik pemuda berkenaan digunakan pihak kilang berhampiran untuk membina benteng hakisan pada tebing sungai.

“Disebabkan salah faham yang berlaku, pemuda itu terus datang ke tempat pembinaan dengan membawa senjata tajam sebelum menjadikan seorang warga emas yang juga merupakan pekerja membuat benteng terbabit sebagai tebusan.

“Orang ramai yang melihat kejadian tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbang pemuda itu bertindak lebih ganas,” katanya.

Menurutnya, pemuda terbabit sanggup bertindak demikian berikutan berang terhadap pihak kilang yang menggunakan tanah kebunnya sebagai laluan untuk meletak peralatan membina benteng hakisan di tepi sungai berhampiran tanahnya.

“Keadaan itu mencemaskan penduduk dan usaha yang dilakukan pihak JKKK dalam meleraikan itu membuahkan hasil.

“Bagi mengelak perkara yang tidak diingini, JKKK membuat laporan polis serta mengambil inisiatif dengan membuat dokumen persetujuan berhubung pembinaan benteng pada tebing sungai itu.

“Dokumen persetujuan itu bertujuan untuk mengelak seberang perselisihan faham dan diharap kerja pembinaan benteng yang terbengkalai sejak kejadian terbabit dapat disambung semula.

“Pembinaan benteng ini bukan untuk menyusahkan penduduk malah ianya dapat menyelamatkan ratusan nyawa daripada menjadi mangsa hakisan tanah.

“Sikap positif haruslah ditonjolkan terhadap usaha ini kerana ia bukannya membawa kerugian malah menyenangkan semua pihak,” katanya.