Thursday, December 29, 2011

Muzik unik Hanamas


NATSUMI OKIMASU dan Chie Hanawa (kanan) bangga membawa muzik mereka ke seluruh dunia.


PERTEMBUNGAN alat muzik tradisional Jepun, tsugaru-shamisen dan biola alat muzik Barat telah menyatukan dua pelajar Universiti Kesenian Tokyo, Jepun untuk menubuhkan kumpulan mereka yang digelar Hanamas pada tahun 2009.

Mereka bukanlah kumpulan muzik indie yang moden sebaliknya bangga memperdengar muzik tradisional dan moden yang diolah dengan cara mereka sendiri.

Tanpa penyanyi sebaliknya hanya sebuah kumpulan instrumental, Hanamas yang dianggotai oleh Chie Hanawa (tsugaru-shamisen) dan Natsumi Okimasu (biola) berjaya meletakkan diri mereka sebagai pemenang tempat pertama Pertandingan Antarabangsa Neo Klasikal pada tahun lalu.

Kunjungan pertama kali mereka ke Malaysia baru-baru ini kerana konsert jelajah Hanamas yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas pada 12 Disember lalu dan di Universiti Sains Malaysia (14 Disember) telah menerima sambutan hangat. Bukan sahaja diminati oleh orang Jepun di Malaysia tetapi juga orang Malaysia sendiri.

Berkesempatan menyaksikan konsert mereka yang dibawakan oleh Japan Foundation, Kuala Lumpur di Dewan Filharmonik Petronas ternyata mereka berdua mempunyai pesona yang tersendiri apabila dewan hampir penuh dengan peminat mereka.

“Apa khabar, terima kasih kerana sudi hadir pada konsert Hanamas. Ini kali pertama kami datang ke Kuala Lumpur, kami sangat teruja dapat melihat Menara Berkembar Petronas daripada dekat,” ujar Natsumi Okimasu yang berusaha bertutur dalam bahasa Inggeris.

Sepanjang 70 minit konsert berlangsung, mereka telah mendendangkan sebanyak 10 buah lagu antaranya Tsugaru Jongara Bushi, Life, Yagi Bushi, Homura, Akita Nikata Bushi, Kanon dan medley lagu daerah Tahoku dengan diiringi oleh pemuzik Shigehito Kawamura (perkusi) dan Taiichiro Shirahama (gitar).


PERSEMBAHAN Hanamas di Dewan Filharmonik Petronas diiringi oleh Taiichiro Shirahama (gitar) dan Shigehito Kawamura (perkusi).


Bukan itu sahaja, irama tradisional dan moden kedengaran cukup indah apabila mereka memain lagu Mozart Tokotoko Kashinkyoku dan medley lagu Krismas seperti Christmas Song, White Christmas, Sleigh Ride, Winter Wonderland dan Jingle Bell sebagai kejutan buat penonton.

Kemeriahan dapat dirasai apabila energi dua gadis muda itu turut dirasai oleh penonton yang turut mengambil bahagian dalam persembahan dengan bertepuk tangan apabila lagu rancak dimainkan.

Sesekali mereka akan berhenti dan berbual bersama penonton dengan dibantu oleh penterjemah. Keadaan menjadi sayu apabila mereka bercerita tentang pengalaman dan derita rakyat Jepun apabila negara mereka dilanda gempa bumi dan tsunami pada Mac lalu.

“Kami gembira dan bersyukur berada di sini, kebanyakan lagu dicipta berinspirasi daripada alam dan kami dedikasikan lagu-lagu ini khas buat mangsa gempa dan tsunami lalu,” kata Natsumi lagi.

Selain mengadakan konsert mereka turut mengadakan kelas demonstrasi pada 13 Disember lalu di Dewan Filharmonik Petronas untuk memperkenalkan alat muzik tradisional Jepun tsugaru-shamisen yang dimainkan oleh Chie Hanawa kepada peminat tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: