TUMBANG...pokok yang tumbang di taman permainan kanak-kanak di Pangsapuri Merak, Subang.
SUBANG: “Nasib baik ketika pokok tumbang tiada kanak-kanak yang bermain di taman permainan ini. Jika tidak pasti ada yang parah dan mungkin maut,” kata penghuni Pangsapuri Merak, Muhammad Najwan Adzmi, 25.
Katanya, kejadian ribut yang kuat jam 9 malam pada Sabtu lalu itu menyebabkan sebatang pokok di taman berkenaan tumbang dan menghempap alat permainan pada hari berkenaan.
“Terdapat 11 pokok di sekitar taman ini dan berusia hampir 10 tahun. Selepas kejadian itu, kami bimbang kejadian sama berulang dan berlaku tanpa dijangka.
“Ini kali pertama berlaku dan saya difahamkan pokok ini tumbang berikutan akarnya yang tidak kuat mencengkam disebabkan lapisan bawah tanah adalah konkrit,” katanya ketika ditemui.
Penduduk yang mahu dikenali, Taib, 34, berkata keadaan struktur tanah yang lemah sudah tidak sesuai untuk menampung pokok yang tinggi dan berharap pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) memotong pokok berkenaan.
“Mungkin pihak JMB boleh menanam pokok yang renek untuk menggantikan pokok berkenaan kerana perlu diutamakan sekarang keselamatan kanak-kanak yang bermain di taman ini.“Lagipun pokok ini menghadap parkir kenderaan penghuni dan berkemungkinan tumbang bila-bila menghempap kereta,” katanya.
Sementara itu, penyelenggara bangunan pangsapuri berkenaan, Zakaria Zailani, berkata walaupun kejadian ini tidak meragut nyawa penduduk, pihaknya akan bertindak segera bagi memastikan keselamatan penghuni terjamin.“Setiap bulan kawasan taman permainan ini diselenggara pihak pengurusan dengan memotong dahan yang tua selain membersihkan kawasan permainan berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: