|
|
PERNAH satu ketika dahulu, dia dipertikaikan kerana diberi watak perempuan kampung naif, peran utama filem Ombak Rindu. Izzah ialah watak seorang anak yatim piatu diberi nama Izzah yang
diduga dengan pelbagai halangan dan dibuang oleh keluarga bapa
saudaranya, Taha kerana dikatakan pembawa malang.
Sebaliknya, pelakon Maya Karin secara realitinya seorang wanita moden dan banyak menghabiskan masa di bandar ternyata berbeza dengan apa yang digambarkan dalam naskah karektor ciptaan novelis Fauziah Ashaari yang cukup menyentuh hati itu.
Menanyakan persoalan tersebut kepada pelakon kelahiran Bayreuth, Jerman ini, dia memang ada alasan tersendiri untuk membawakan watak berkenaan.
“Memang saya tak ada ketulusan Melayu (seperti dalam watak Izzah yang sebenar) sebab saya berdarah campuran. Itu sebab saya cabar diri saya untuk mencari pengertian sebenar jiwa Melayu itu.
“Menerusi bimbingan daripada orang yang lebih Melayu termasuk Ellie Suriaty, saya dapatkan apa yang dikehendaki dalam filem itu selain mendengar banyak lagu-lagu tradisional sepanjang penggambaran.
“Memang dahulu memang saya jauh (dengan Melayu) tapi sebab jadi artis, sekarang ini semakin hari semakin dekat. Seperti kebanyakan artis yang duduk di bandar tapi itu tak bermakna saya tak mampu membawakan watak Izzah,” jelasnya.
Filem Ombak Rindu adalah terbitan Astro Shao dengan kerjasama Tarantella Pictures mula ditayangkan pada 1 Disember lalu. Selain Maya, Aaron Aziz dan Lisa Surihani, Ombak Rindu turut dibintangi Bront Palarae, Normah Damanhuri, Azizah Mahzan, Zaidi Omar, Delimawati, Julia Ziegler dan Kamarool Yusof.
Mengusik Maya yang persoalan bagaimana dia mendapatkan konsentrasi penjiwaan Melayu sedangkan sewaktu penggambaran itu dia berdepan dengan konflik rumah tangga sebelum ini, wanita ini tersenyum.
“Saya memang dahulu lagi memang mudah mendapatkan fokus kalau melibatkan soal kerja. Sesukar macam mana pun, saya kena lakukan kerja saya dengan sempurna.
“Kena bahagikan (soal peribadi dan kerja) dan bijak mengawal kedua perkara itu. Susah sebenarnya nak terangkan tapi saya nak berikan fokus sepenuhnya sewaktu penggambaran Ombak Rindu selama dua bulan,” dedahnya.
Ini merupakan kali ketiga Maya bekerja di bawah pengarah Osman Ali selepas Anak Halal dan Cun bersama pasukan produksi yang sama. Lantaran itu, tugas Maya lebih mudah kerana tumpuan diberikan hanya kepada permainan emosi.
Selain itu, anak sulung dari tiga beradik ini turut menyatakan rasa teruja kerana gandingan pertama kali dengan Lisa Surihani dan Aaron Aziz memberikan impak yang menarik.
“Dalam filem ini, saya tak berpeluang untuk mendapatkan banyak masa bersama Aaron sebab dia sibuk dengan penggambaran filem lain. Ombak Rindu memberi banyak pengalaman buat diri saya.
“Buat pertama kali juga saya memakai tudung dalam filem kerana mahukan kelainan walaupun tidak ada dalam skrip. Saya mahu semuanya gembira dengan naskah ini dan berharap orang terhibur,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: