Saturday, December 24, 2011

'Mai Chek Mai' Gandingan Pelakon Lama & Baru

PETALING JAYA: Sitkom terbaru terbitan RTM iaitu Mai Chek Mai bakal menggabungkan ramai pelakon lama dan baru.

Pengarah sitkom tersebut, Asri Alias berkata, perkara itu dilakukan bagi memberi ruang kepada pelapis baru untuk menimba pengalaman daripada pelakon lebih senior bergandingan dalam sebuah projek.

"Mai Chek Mai adalah sebuah sitkom komedi yang dirakamkan secara langsung di hadapan penonton dan ia adalah cabaran buat pelakon baru ini selain dapat belajar daripada mereka yang lebih senior mengenai teknik dan persediaan sebelum ke set.

"Saya bagaimanapun berpuas hati dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh mereka sepanjang penggambaran tersebut," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran sitkom itu di sini, Khamis.

Siri 13 episod itu bakal ditayangkan pada setiap Rabu bermula 4 Januari depan di saluran TV1.

Mai Chek Mai menggandingkan pelakon seperti Khatijah Tan, Ebby yus, Ilya Buang dan Ramasundram sebagai peneraju utama selain Zarina Mohd Nor, Mira Amnas dan Livonia Ricky daripada program “Pilih Kasih 2”.

Dalam pada itu, Asri berkata, sitkom yang dirakamkan di Auditorium Taman budaya, Alor Setar, Kedah itu berkonsepkan 1Malaysia dan cetusan idea asal adalah daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Asri berkata, Rais menginginkan sebuah sitkom dengan dialek Kedah diterbitkan dengan memasukkan pelbagai elemen bersesuaian dengan konsep 1Malaysia.

"Manisnya mengenai sitkom ini adalah walaupun ia bertunjangkan dengan konsep 1Malaysia ia juga turut memaparkan kepelbagaian etnik dan dialek masyarakat Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Asri berkata, Mai Chek Mai telah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton di negeri Kedah sepanjang rakaman 13 episod di sana.

Ujarnya, pihak RTM juga dalam perancangan untuk menerbitkan musim kedua program itu tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: