KUANTAN - Peserta Perkumpulan Wanita Desa (PWD) Kampung Paya Rambutan tidak melepaskan peluang menambah kemahiran dalam Kursus Asas Bakeri anjuran Jabatan Pertanian di bawah program Industri Asas Tani.
Seramai 25 peserta memanfaatkan peluang itu untuk mempelajari cara membuat roti, seterusnya mampu menjana pendapatan baru.
Seorang peserta, Anita Subuh, 42, berkata, dia teruja dengan kursus membuat roti berkenaan kerana ia pertama kali diadakan di situ.
Menurutnya, sebelum ini, ahli PWD lebih tertumpu kepada aktiviti membuat kerepek dan baulu sahaja.
“Kali ini, ahli berpeluang membuat roti malah tunjuk ajar daripada guru dari Jabatan Pertanian banyak membantu kami,” katanya ketika ditemui, di sini.
Anita berkata, dia mahu mempelbagaikan kemahiran mengusahakan produk makanan yang berpotensi mendapat pasaran di kawasan sekitar.
Bagi Pengerusi PWD Kampung Paya Rambutan, Yusainah Awang Kecik, dia sentiasa berusaha mendengar kehendak ahlinya untuk mengaktifkan wanita di situ.
Katanya, sebelum ini, terdapat peserta yang sudah berjaya memasarkan produk kerepek dan baulu ke pasaran luar.
“Justeru, saya berharap selepas kursus ini, ahli PWD di sini akan menjadikan ia sebagai satu permulaan untuk memajukan diri masing-masing dalam bidang usahawan wanita desa,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah, Amir Dzulfadli Samad berkata, pihaknya sentiasa turun padang ke kawasan yang memerlukan kursus sedemikian sekiranya ada permintaan.
“Kursus tersebut termasuk membuat kek, kerepek, biskut bertujuan untuk menggalakkan pengusaha berminat menceburi bidang keusahawanan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: