Friday, December 16, 2011

Keletah di taman tema air


SEORANG ibu membawa anaknya meluncur bersama di Sunway Lagoon.


SUASANA Sunway Lagoon pada 10 Disember lalu nyata sungguh berbeza jika dibandingkan dengan hari-hari biasa apabila lebih 1,000 pelanggan Friso, jenama nutrisi tenusu terkemuka berkumpul memeriahkan program yang dianjurkan syarikat tersebut.

Acara yang dinamakan Friso Pool Party diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap pengguna dengan memberi peluang kepada lebih 1,000 orang yang terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak dari seluruh Semenanjung Malaysia untuk berhibur di taman tema tersebut.

Acara yang terbuka untuk orang awam terutamanya pengguna produk Friso ternyata mendapat sambutan menggalakkan apabila rata-rata peserta yang terpilih mula berkumpul di taman tema itu seawal pukul 6 pagi kerana tidak mahu melepaskan peluang keemasan tersebut.

Sebagai pembuka tirai, kesemua kanak-kanak dihiburkan dengan persembahan badut Coco selain senaman aerobik.

Tidak ketinggalan permainan belon dan permainan gelung hula.

“Acara tersebut merupakan satu platform untuk menggalakkan ibu bapa muda merapatkan hubungan mereka dengan anak masing-masing. Ini hari untuk mereka bergembira,” kata Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Rahul Colaco.

Bagi memeriahkan lagi majlis itu, Friso turut menganjurkan aktiviti seperti pencarian harta karun di pantai dan permainan air.

Walau bagaimanapun, kesemua aktiviti permainan air tersebut direka khas untuk ibu bapa bersama anak-anak mereka.

Menariknya, permainan tersebut bukan dimainkan hanya untuk suka-suka kerana pihak penganjur menawarkan beberapa hadiah menarik seperti skuter, set khemah dan set lego untuk pemenang.

Antara aktiviti permainan lain termasuklah membawa bola ping pong, memukul belon air, membina istana pasir dan banyak lagi.

Kemeriahan Sunway Lagoon hari itu bukan hanya disebabkan keletah anak-anak yang girang apabila berpeluang mandi-manda sambil mengikuti pelbagai sukaneka tetapi juga, dek aksi ibu bapa yang turut teruja.

Ada ibu yang tidak menang tangan bermain air, membantu anak membawa bola ping pong, manakala si bapa pula penuh tangan menjinjing pelampung.


SEORANG kanak-kanak asyik membina istana pasir di Sunway Lagoon.


Seharian bermain air

Seorang ibu, Nurhidayah Juhan, 24, berkata, aktiviti yang diadakan sememangnya menyeronokkan terutamanya buat anak-anak.

“Boleh dikatakan kami menghabiskan masa sehari suntuk di taman tema ini memandangkan terlalu banyak aktiviti yang boleh dimanfaatkan. Memang penat untuk mengelilingi seluruh tempat ini tetapi, ia sangat menyeronokkan,” jelasnya sambil memuji penganjuran acara yang diadakan sesuai pada musim cuti sekolah.

Pendapat itu turut disokong Muhammad Ali Jusoh, 38.

Katanya, bukan hanya kanak-kanak sahaja yang terhibur dengan aktiviti disediakan malah, golongan ibu bapa juga teruja dengan setiap permainan di sana.

“Sebagai pelanggan tetap, saya berharap acara seperti ini diteruskan pada masa akan datang,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: