
BINGKISAN kehidupan yang dilalui sepanjang hayat tentu sekali menjadi lebih bermakna apabila dapat diputar semula untuk dijadikan kenangan terindah.
Apatah lagi, apabila satu persatu bingkai kehidupan tersebut dapat dirakam dan dimainkan semula bak filem pendek arahan sendiri untuk dijadikan tontonan pada masa hadapan.
Pengenalan kamkoder yang dilengkapi pengesan CMOS dengan rakaman progresif untuk menghasilkan video berkualiti dan mudah dikendalikan, amat sesuai digunakan oleh penggemar peranti berteknologi tinggi.
Model terbaharu, Samsung SMX-F700 yang mempunyai resolusi sehingga lima megapiksel dan filter warna utama mampu menghasilkan video dengan warna lebih tepat dan semula jadi.
Dengan teknologi terkini, kamkoder tersebut boleh merakam video pada kadar 30 atau 25 bingkai per saat sekali gus memberikan kepuasan kepada pengguna.
Dalam pada itu, pengesan CMOS yang terdapat pada kamkoder itu turut memberikan perlindungan pencahayaan apabila merakam subjek terang seperti cahaya ataupun matahari.
Bagi yang tidak yakin ataupun bimbang rakaman video akan menjadi kabur, mereka tidak perlu khuatir kerana teknologi penstabilan imej Hyper Digital dapat membantu memberi rakaman lebih sempurna.

Samsung SMX-F700 didatangkan bersama lensa Schneider Kreuznach yang mempunyai optikal zum 52x dapat memastikan video dirakam dengan lebih terperinci walaupun ketika sedang fokus pada subjek jarak jauh.
Pengendalian kamkoder lebih mudah apabila ciri pintar Smart Auto membolehkan pemilihan mod rakaman dilakukan secara automatik bergantung kepada keadaan cahaya dan subjek.
Peranti yang hanya mempunyai berat mencecah 220 gram dan kerangka kompak membenarkan pengguna membawa ia ke mana-mana sahaja malah boleh merakam imej pegun berkualiti tinggi.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kamkoder Samsung SMX-F700 yang dijual pada harga RM699, laman web www.samsung.com boleh dilayari untuk rujukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: