SHAH ALAM – Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Swan) telah melantik dua jururunding bebas untuk membuat kajian secara terperinci mengenai tahap kualiti dan kuantiti sumber air sungai di negeri ini.
Timbalan Presidennya, Ir. V. Subramaniam berkata, sampel air sungai itu akan diambil daripada 10 muka sauk loji rawatan air antaranya di Loji Rawatan Air Sungai Selangor dan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dekat sini.
Menurutnya, kajian terpaksa dibuat setelah Swan mendapati orang ramai keliru dengan kenyataan bercanggah antara kerajaan negeri, kerajaan Pusat dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) berhubung perkara itu.
“Kerajaan Persekutuan dan Syabas berulang kali melaporkan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menghadapi kekurangan air bermula tahun 2014 berdasarkan senario permintaan dan pembekalan air.
“Kerajaan Selangor pula menyatakan bahawa kajian Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati bekalan air mentah di tujuh buah empangan di negeri ini masih cukup,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: