Tuesday, December 13, 2011

Jelajah Shell Helix 2011 meriah di Johor Bahru

Peserta -peserta Jelajah Shell Helix bergambar kenangan sebelum tiba di Johor Bharu.

SEBANYAK 37 buah supercar termasuk Ferrari, Lamborghini, Porsche, Lotus, Nissan dan Aston Martin telah menyertai Shell Helix 2011 Invasion Tour: The Drive to Protect ke Johor Bahru minggu lalu hasil kerjasama pihak Zerotohundred.com dan Shell Malaysia.

Jelajah pusingan pertama menuju ke selatan ini disertai oleh pemilik-pemilik supercar Persatuan Jaket Biru (Blue Jackets) bertujuan untuk menambahkan lagi pengetahuan mengenai betapa pentingnya penggunaan minyak enjin yang betul dan penjagaan enjin.

Dalam masa sama, jelajah ini turut meraikan dua orang pemenang peraduan portal yang diadakah oleh Zerotohundred.com sekali gus menyerikan jelajah yang julung kalinya diadakan ini melalui Lebuhraya Utara-Selatan Sabtu lalu.

Dua pemenang tersebut ialah Dielmier Goh dari Johor manakala seorang lagi, Jeffri Othman dari Kuala Lumpur.

Lotus Evora mengambil bahagian dalam acara Lotus Cars Autocross di Danga Bay.

Kedua mereka ini terpilih sebagai pemenang selepas berjaya memberi jawapan sempurna ketika menyertai kuiz permotoran yang dianjurkan oleh laman portal itu.

“Sukar dijelaskan selepas diumumkan sebagai salah seorang pemenang kuiz itu. Yang pasti saya gembira kerana terpilih menjadi salah seorang pemenang, malah peluang ini adalah sekali seumur hidup. Shell dan Ferrari memberi pengalaman bermakna dalam hidup saya,” kata Jeffri.

Siri jelajah ini mula berarak dari Shah Alam menuju ke Johor Bahru dan turut diiringi pihak polis bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas memandangkan orang ramai turut teruja melihat konvoi ini.

Sebelum tiba di Johor Bahru, peserta turut singgah di Movida di Hatten Square untuk makan tengahari dan berhenti di R&R Gelang Patah.

Konvoi juga turut singgah di Kelab Amani di Tanjung Kupang, Johor di mana para-peserta diberi taklimat oleh Youth Rangers dan turut disertai sebahagian daripada remaja sekitar Johor yang menjadi sukarelawan di kelab ini.

Dalam masa sama, pasukan konvoi ini telah berjaya mengutip derma sebanyak RM7,000 dan diserahkan kepada kelab itu bagi membantu dalam melaksanakan pelbagai aktiviti seperti kesedaran tentang alam sekitar di kalangan golongan remaja dan menghargai alam semulajadi.

Young Lim (tengah) mengungguli kategori media dalam acara Lotus Cars Autocross. Tempat kedua Kam Foo (kiri) dan ketiga, Kar Yeong.

Kelab ini juga telah menerima geran daripada Shell (Shell Sustainable Development) pada tahun 2009 bagi memulakan projek-projek berkaitan selepas ini.

Acara kemuncak pada hari seterusnya adalah program Autocross Lotus Cars Malaysia yang berlangsung di Danga Bay dengan menyaksikan presiden Blue Jackets, Erwin Azizi mengungguli kategori Expert diikuti Jart dan ketiga, Andy.

Bagi kategori Fast and Furious pula, dimenangi oleh Eric, ditempat kedua oleh Satia dan Botak di tempat ketiga. Manakala pemenang bagi kategori media diraih oleh Ting Young Lim yang telah mempamerkan kemahiran tersendiri ketika memandu Lotus Evora, tempat kedua oleh Yap Kam Foo dan ketiga, Teoh Kar Yeong.

Pusingan Shell Helix 2011 Invasion Tour ini menuju ke Pulau Pinang pada 10 hingga 11 Disember ini. Untuk keterangan lebih lanjut, sila layari www.zerotohundred.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: