ALOR GAJAH - Sejak dua minggu lalu, sudah dua kali jambatan menghubungkan Brisu dan Masjid Tanah, di sini runtuh menyebabkan satu laluan saja dibuka kepada orang ramai.
Jambatan setinggi tujuh meter itu turut menyebabkan retakan pada jalan raya sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Penduduk, Jazam Johar, 42, berkata, runtuhan kali pertama berlaku membabitkan satu bongkah yang menyokong bawah jambatan dan keadaan lebih membahayakan apabila runtuhan kedua berlaku turut membabitkan tebing dan jalanraya.
“Ketika kejadian hujan lebat dan ia runtuh dengan sekelip mata berikutan air sungai yang mengalir dari Sungai Buloh ke Lubok China deras hingga menyebabkan hakisan kuat pada tebing tanah dan menimbulkan retak atas jalanraya.
“Sebelum ini pihak berkaitan ada menambak tebing sungai itu dengan batu-batuan, namun kejadian runtuhan ini turut menyebabkan batu yang ditambak jatuh ke dalam sungai mewujudkan rompong pada bahagian bawah jambatan itu,” katanya.
Menurutnya, terdapat satu longgokan batu krikil diletakkan bersebelahan dengan lokasi jambatan runtuh itu sejak beberapa hari lalu, bagaimanapun sehingga kini masih belum ada tindakan diambil, malah tidak ketahui siapa meletakkannya.
“Buat masa ini pengguna perlu berwaspada apabila melalui jalan terbabit yang bergantung kepada papan tanda dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pengguna perlu lebih bertolak ansur melaluinya berikutan sebelah laluan sudah ditutup.
“Sepanjang dua minggu keadaan ini terbiar belum ada yang menjadi mangsa di sini. Tetapi sampai bila ia akan terus terbiar tanpa sebarang tindakan segera. Jangan sehingga sudah ada yang terhumban dalam sungai, baru ada tindakan diambil,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Brisu, Ismail Laham berkata, tebing terbabit mula runtuh sejak dua minggu lalu, diikuti runtuhan kedua pada seminggu lalu membabitkan laluan jalanraya.
“Runtuhan itu berlaku secara berperingkat sejak dua minggu lalu dan bernasib baik ketika kejadian berlaku sekitar 4 petang itu tiada pengguna jalanraya yang melalui jalan berkenaan.
“Namun begitu, tindakan segera perlu diambil supaya tidak berlakunya ‘sudah terhantuk baru terngadah’. Apatah lagi sekiranya jalan ini dilalui orang luar yang tidak dimaklumkan berhubung hampir separuh jambatan itu runtuh,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri Melaka, Datuk Abd Karim Sulaiman berkata, tinjauan sudah dijalankan di tempat kejadian dan permohonan untuk membaik pulih sudah dimajukan ke Kementerian Kerja Raya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: