Thursday, December 15, 2011

Gerbang Cinta beri kelegaan


Kenangan... Rizai Ali dan Ainul Farha Ramli pada majlis persandingan selepas memenangi tempat ketiga Peraduan Gerbang Cinta pada 2009.


HAL ‘membina masjid’ atau berkahwin bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah sebaliknya ia merupakan satu kewajipan bagi pasangan yang berkemampuan.

Namun untuk melangkah ke arah itu memerlukan persiapan yang rapi daripada mula meminang anak dara orang hingga kepada mengurus majlis perkahwinan dan seterusnya melayari bahtera rumah tangga.

Untuk memulakan urusan perkahwinan, bukan sekadar menyediakan wang hantaran tetapi juga persiapan lain perlu disediakan untuk majlis sekali seumur hidup.

Pendek kalau setakat belanja perkahwinan sebanyak RM10,000, ia satu jumlah yang belum cukup sempurna dengan harga pelbagai barangan ketika ini cukup mahal.

Namun bagi pasangan Rizai Ali dan Ainul Farha Ramli, mereka bersyukur kerana sebahagian majlis persandingan mereka ditaja selepas terpilih menjadi pemenang tempat ketiga Peraduan Gerbang Cinta musim pertama dua tahun lalu.

Melalui program tersebut, sebahagian kelengkapan majlis perkahwinan mereka dibiayai penaja peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia termasuk sajian makanan, pelamin, baju pengantin, andaman, kad kahwin, fotografi dan sistem pembesar suara.

“Program ini betul-betul membantu kami berdua, lagipun pada ketika itu baru bekerja jadi simpanan masih sedikit dan tidak mampu untuk mengadakan majlis secara besar-besaran.

“Melalui program ini, ia membantu kami untuk merealisasikan impian untuk membina ‘istana cinta’ kami lebih awal daripada yang kami rancangkan, ’’ ujar Ainul Farha ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambah Ainul yang juga merupakan seorang guru di Klang, Selangor, program tersebut membantu golongan muda yang ingin membina mahligai apabila peserta diberi panduan-panduan berguna sepanjang menyertainya.

Katanya lagi, sepanjang tiga bulan menyertai program tersebut banyak perkara baru yang dipelajari dan ditemui.

“Biarpun banyak rintangan yang harus dilalui sepanjang menyertai program tersebut tetapi hakikatnya ia sangat menyeronokkan,’’ ujarnya yang kini dianugerahkan seorang anak perempuan berusia setahun.

Sementara itu suaminya, Rizai Ali yang bersependapat dengannya memberitahu, tanpa menyertai program tersebut pastinya majlis perkahwinan mereka diadakan kecil-kecilan dan ringkas.

“Program ini betul-betul membantu saya dan memberi cara penyelesaian yang mudah kepada pasangan muda yang ingin berkahwin lebih-lebih lagi sekarang ini kos untuk mengadakan majlis perkahwinan semakin meningkat,” katanya .

Sementara itu bagi pemenang kedua bagi musim pertama pula, Qistina Mohd. Nazri, memberitahu, penganjuran program itu dilihat mampu memberikan dorongan kepada generasi muda untuk berkahwin dan mengelakkan daripada terjerumus kepada perkara yang tidak baik.

Katanya lagi, program ini juga membantu pasangan yang merancang untuk berkahwin membina sebuah rumah tangga yang lebih sempurna.

Dia sendiri bersyukur kerana terpilih menjadi pemenang kedua dan dapat merealisasikan impian untuk berumah tangga lebih awal daripada jangkaan.

Paling penting bersama pasangannya, Izzudin Salleh, mereka memperoleh majlis perkahwinan yang ditaja hampir sepenuhnya.

Menurut Qistina lagi, penganjuran program ini bagi musim ketiga dilihat masih relevan memandangkan program tersebut bukan sahaja membantu generasi muda untuk berkahwin tetapi menggalak dan mendidik generasi muda melihat perkahwinan dari perspektif yang positif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: