![]() |
| sandwich gelato yang dimakan bersama roti atau biskut. |
KURANGNYA pengetahuan membuatkan segelintir daripada kita pantas membuat penilaian bahawa gelato itu diperbuat daripada gelatin, lalu timbul pertanyaan halalkah ia untuk orang Islam ?
Jawapannya gelato sebenarnya langsung tiada kena mengena dengan gelatin kerana ia hanyalah istilah yang digunakan oleh rakyat Itali untuk ais krim.
Kenyataan tersebut dibuktikan oleh Pegawai Pembangunan Art's Cream Gallery Malaysia Sdn. Bhd., Affandy Faiz, yang mengakui gelato adalah istilah ais krim untuk orang Itali.
Ia diperbuat daripada susu, krim, buah-buahan dan kekacang asli.
Istimewanya, gelato hanya mengandungi kira-kira empat hingga lapan peratus lemak sahaja berbanding 14 peratus lemak yang ada dalam ais krim biasa.
Malah menurutnya, gelato itu sendiri sebenarnya adalah tingkat paling tertinggi dalam kategori ais krim.
"Ais krim terbahagi kepada empat kategori. Kategori paling bawah ialah yogurt, kemudian ais krim lembut (soft ice cream) seperti ais krim yang dimakan dengan kon, diikuti ais krim beku (frozen ice cream) seperti yang dijual di kedai runcit dan paling berkualiti ialah gelato.
"Gelato adalah ais krim yang diperbuat daripada bahan berkualiti, rendah lemak, kurang manis, rendah kalori dan tidak menggunakan bahan pengawet atau perisa tambahan.
"Namun begitu rasanya memang sedap kerana diperbuat daripada buah-buahan atau kekacang terpilih yang berkualiti sahaja," ujar Affandy yang ditemui di Art's Cream Gallery, terletak di tingkat enam pusat beli- belah Pavilion, Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, rakyat Itali memilih gelato dan kopi sebagai pengganti sarapan mereka kerana gelato merupakan makanan yang sihat dan berkhasiat.
"Kebanyakan gelato yang dihasilkan oleh orang Itali adalah yang mereka buat sendiri di rumah. Di galeri ini kami juga memproses gelato sendiri menggunakan bahan semulajadi yang diimport dan sangat asli kerana tidak mengandungi mentega dan paling penting ia halal.
"Ia juga tidak mengandungi pengawet, perasa tiruan dan untuk pelanggan di sini kami hasilkan gelato yang benar-benar segar," ujarnya yang telah mewujudkan galeri gelato ini sejak dua tahun yang lalu.
Malah gelato di Art's Cream Gallery sudah mendapat persijilan halal dari Itali dan juga dalam proses mendapatkan status halal dari Jakim.
Di Art's Cream Gallery ini ada empat kategori perasa iaitu tradisional seperti coklat, vanila dan sebagai, tradisional terbaru seperti tiramisu, mint, hibrid iaitu gabungan tiga elemen rasa dan eksotik seperti buah-buahan tempatan yang ada mengikut musim.
Kesemuanya terdapat lebih 40 perisa yang terdapat di Art's Cream Gallery ini. Bagi pelanggan Muslim tidak perlu berasa was-was kerana gelato di Art's Cream Gallery tidak mengandungi alkohol dan wain.
Bagi menambah nilai, Affandy turut memperkenalkan sandwich gelato iaitu yang dimakan dengan roti atau biskut.
Terdapat juga gelato yang dihidang dalam bentuk Banana Split yang boleh dinikmati sendirian atau bersama pasangan.
Menikmati gelato di Art's Cream Gallery ini juga adalah satu nikmat kerana ia berkonsepkan santai kasual dan terbuka.
Galeri ini boleh memuatkan kira-kira 60 hingga 80 pengunjung pada satu masa dan harganya juga boleh dikategorikan terendah dalam kelasnya.
Art's Cream Gallery juga menyediakan program francais untuk peniaga yang berminat dan untuk maklumat lanjut tentangnya boleh melayari laman web www.artscreamgallery.com.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: