
Jika anda berpeluang mengunjungi butik Steiff di One Utama, Kuala Lumpur, anda pasti tertarik dengan pelbagai fesyen anak patung yang dipamer. Kata orang, anak patung teman setia kanak-kanak tetapi bagi peminat setia jenama Steiff, ia adalah teman semua orang. Berusia hampir 100 tahun, jenama daripada German ini menghasilkan pelbagai jenis anak patung.
Dalam dunia realiti dia hanya tersenyum kaku dan tidak boleh bertutur. Namun fesyen yang digayakan setiap anak patung cukup memikat. Gaya yang comel dengan penggunaan warna lembut, sejuk mata memandang.
Teddy bear atau anak patung beruang merupakan sebahagian besar yang dijual di Steiff. Ciri-ciri asas teddy bear ini sudah cukup untuk membuatkan orang ingin memilikinya. Kelembutan bulunya menyebabkan ia selesa dipeluk. Ia sememangnya anak patung yang cantik, comel, manja dan melambangkan kasih sayang bersama sepanjang masa. Ini cukup sesuai untuk menggambarkan perasaan anda. Malah ada kalangan peminatnya menjaga teddy bear kesayangan mereka seperti anak sendiri. Itulah antara aspek unik yang dimiliki oleh anak patung lembut ini hingga ia menjadi trend pilihan popular. Banyak lagi pilihan anak patung lembut seperti patung singa, anjing, kucing, selain watak kartun seperti Winnie the Pooh, koleksi eksklusif seperti Karl Lagerfeld dan Viktoria.
Kadar harga anak patung bersaiz sederhana kecil biasanya bermula pada RM 80 dan boleh mencecah beribu-ribu ringgit.
Ternyata ia hadiah yang bukan sahaja bernilai dari segi wang tetapi mempunyai ciri tersendiri yang unggul. Teman ini juga biasa diberi nama mengikut peristiwa, sempena nama pemberinya atau sebarang nama kesukaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: