tampar-rakan

KUALA TERENGGANU - Gara-gara gagal mengawal perasaan amarah, seorang suri rumah bertindak di luar jangkaan dengan menampar muka dan memukul badan rakannya dalam satu kejadian di Kampung Mengabang Telipot, di sini, 30 November lalu.

Disebabkan tindakannya yang terlalu mengikut perasaan itu, wanita berkenaan, Norziah Husain, 40, dari Taman Perumahan Kos Rendah (PAKR) Mengabang Lekor 2, Batu Rakit, di sini, dijatuhi hukuman denda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Sekiranya tertuduh gagal menjelaskan jumlah denda tersebut, dia akan dipenjarakan selama sebulan.

Hukuman berkenaan dijatuhkan Majistret Noradila Abd Latif selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa, Solia Mamat, 39, kira-kira jam 5.30 petang di Kampung Mengabang Telipot, di sini, pada 30 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berpunca setelah tertuduh naik berang apabila dituduh oleh mangsa kononnya tidak menjelaskan bayaran berkaitan jual beli barang kemas sebelum ini.

Kedua-dua sahabat itu mula bertikam lidah dan semasa pertengkaran itulah, tertuduh dipercayai gagal mengawal perasaan dengan bertindak menampar muka serta memukul badan rakannya itu.

Tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan tertuduh menyerah diri di Balai Polis daerah Kuala Terengganu, malam kelmarin.