Friday, December 16, 2011

Ella, Awie Kongsi Pentas Untuk Sebuah Konsert Rock

Ella teruja dapat bergandingan dengan Awie dalam sebuah konsert.

KUALA LUMPUR: Ratu rock negara, Ella menyatakan rasa teruja apabila dapat berganding dengan vokalis kumpulan Wings, Awie dalam sebuah konsert pada Januari depan.

Ella berkata, walaupun telah lama mengenali Awie dan pernah membuat persembahan bersama, Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Malaysia itu adalah konsert pertama yang menggandingkan mereka berdua.

"Ella tidak berfikir panjang ketika menerima tawaran untuk menjayakan konsert ini bersama-sama Awie kerana ia adalah peluang besar untuk berganding dengannya dalam sebuah konsert yang sama," katanya ketika ditemui sidang media konsert berkenaan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Ella berkata, dia masih berbincang dengan pengarah muzik konsert itu, Edrie Hashim mengenai pemilihan lagu untuk dipersembahkan kerana terlalu banyak lagu yang diminati oleh peminat.

Ujarnya, dia perlu berhati-hati dalam memilih lagu yang akan dibawa kerana tidak mahu peminat berasa terkilan jika tidak menyanyikan lagu yang disukai mereka.

"Ella ada lagu yang diminati dan peminat ada lagu yang mereka inginkan. Jadi ia sedikit sukar," ujarnya.

Pun begitu, Ella berkata dia tidak akan melepaskan peluang untuk berduet dengan Awie menerusi lagu Baldu Biru yang sebelum ini tidak pernah dinyanyikan secara langsung di hadapan peminat.

"Selain Baldu Biru, Awie dan Ella akan menyanyikan beberapa lagu duet yang dipilih daripada koleksi lagu-lagu kami sendiri," ujarnya.

Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Malaysia bakal diingati oleh peminat.

Sementara itu, Awie menyifatkan konsert tersebut adalah sebuah pengiktirafan dan penghormatan daripada seorang rakan kepada seorang kawan yang lain.

Katanya, dia terharu apabila rakan baiknya, Hans Isaac sudi untuk menerbitkan konsert tersebut yang dianggap sebagai hadiah buat dirinya dan Ella.

"Ini adalah satu tanggungjawab besar buat saya dan Ella. Sudah pasti kami tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan oleh Hans," ujarnya.

Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Malaysia akan diadakan selama empat hari bermula pada 12 Januari 2012. Dalam konsert itu sebanyak enam persembahan akan diadakan oleh mereka.

Memasang hasrat - Hans Isaac

Sementara itu Hans Isaac, mengakui teruja dapat menerbitkan sebuah konsert khas untuk dua rakan baiknya itu.

Hans berkata, dia telah lama memasang hasrat untuk menerbitkan sebuah konsert sejak menubuhkan syarikat produksi Tall Order Productions (TOP) lima tahun lalu.

"Selepas hampir lima tahun baru kini saya berpeluang menerbitkan sebuah konsert khas dan ia seperti melaksanakan sebuah impian.

"Tambah manis apabila konsert itu nanti bukan sahaja menampilkan dua legenda dan ikon dalam genre rock tetapi juga mereka adalah sahabat baik saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Hans berkata, pemilihan Awie dan Ella adalah berdasarkan kekuatan mereka yang memberi impak kepada seluruh rakyat Malaysia dan masih digemari oleh peminat.

Hans berkata, Edrie Hashim akan mengetuai persembahan pada malam itu di samping Ujang Exists (drum), Ujang (gitar), Fly (bass), Amir Feerza (percussion), Kudin dan Jason Voo (keyboard).

"Semua pemuzik adalah yang terbaik dalam alatan masing-masing untuk persembahan itu nanti dan sudah pasti ia tidak akan mengecewakan," ujarnya.

Tiket untuk Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock Malaysia telah pun mula dijual pada 14 Disember dengan harga dari RM40 hingga RM450 dan tempahan tiket boleh dibuat melalui www.TICKET2U.BIZ atau boleh menghubungi 03-4147 8600.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: