SEJAK muncul dengan karya pertama mereka, Kami The Movie (2008), sentuhan pasangan suami isteri ini dilihat telah membawa revolusi baru dalam pembikinan filem tempatan.
Menerusi filem Kami The Movie, Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak meneroka gelodak jiwa remaja tetapi untuk buah tangan kedua mereka berjudul Songlap, suami isteri ini mengenengahkan tema berat dan serius iaitu pemerdagangan bayi dan wanita.
Jika pengarah lain selesa dengan genre drama, seram dan komedi, Effendee dan Fariza Azlina ternyata lebih gemar bermain dengan genre drama berat - sesuatu yang dilihat kurang digemari oleh penonton filem tempatan.
Tidak ambil pusing dengan kata orang sekeliling tentang pendekatan mereka itu, Effendee dan Fariza Azlina mempunyai justifikasi berhubung mengapa genre itu yang menjadi pilihan mereka.
Jelas mereka, sebagai pengkarya dan pembikin filem, mereka mahu menampilkan kelainan dalam memberikan variasi kepada penonton.
"Kalau asyik dengan genre yang sama, ia dilihat cukup statik sehingga boleh menimbulkan rasa bosan. Malah, industri perfileman kita juga tiada corak dan warnanya.
"Alhamdulillah, apabila kami muncul dengan Kami the Movie, ia diterima dengan cukup baik. Begitu juga dengan Songlap di mana kami mengharapkan penonton dapat menerima karya ini dengan penuh terbuka.
"Jika penonton terhibur dengan Songlap, itu sudah memadai untuk kami. Tetapi, seandainya mereka dapat menangkap subteks dan mesej tersirat dalam filem ini, itu adalah satu kelebihan buat kami," jelas Fariza Azlina sambil disokong suaminya sewaktu ditemui usai majlis pratonton Songlap di GSC One Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Songlap yang diterbitkan oleh Grand Brilliance dengan kerjasama Red Films itu membariskan barisan pelakon hebat dan mantap antaranya Shaheizy Sam, Syafie Naswip, Sara Ali, Omar Abdullah, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Rozie Rashid dan ramai lagi.
Menyambung bicara tentang tercetusnya idea menghasilkan Songlap, Fariza Azlina memberitahu semuanya adalah daripada pembacaannya menerusi akhbar tentang pemalsuan dokumen dan penyeludupan bayi.
Idea
Daripada situ, idea terus berkembang lalu dia dan suaminya memikirkan jalan cerita untuk mengembangkan lagi skrip Songlap sehingga dirombak berkali-kali bagi mendapatkan hasil terbaik.
Effendee pula menjelaskan, pada asalnya, Songlap yang dihasilkan sejak dua tahun lalu itu hanya berkisar tentang kehidupan dua beradik, Am dan Ad semata-mata. Sehinggakan katanya, perbandingan antara skrip asal dan terakhir bagai langit dan bumi.
Namun, selepas mendapati kisah tentang pemerdagangan bayi dan wanita itu cukup menarik untuk diceritakan di layar lebar, maka, dia dan isterinya sepakat menghasilkan lakon layarnya.
"Kami banyak meminta pandangan rakan-rakan kerana sebagai pembikin, kita tidak seharusnya melihat daripada perspektif kita sahaja. Ada kala idea orang lain juga mampu memberi pendekatan yang mungkin kita sendiri tidak pernah terfikir.
"Dalam berkarya, teman-teman kami cukup penting kerana mereka merupakan pengkritik terdekat dan semuanya adalah untuk kebaikan kami juga," ujar Effendee yang pernah dicalonkan untuk Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia Ke-22 (2009) bersama isterinya bagi filem Kami The Movie ini lagi.
Dalam masa yang sama, Fariza Azlina memberitahu bukan mudah baginya dan Effendee menghasilkan Songlap yang sememangnya cukup mencabar buat mereka.
Lebih-lebih lagi untuk babak kejar-mengejar kereta di antara Am (Shaheizy Sam) dan Ah Keong (Berg Lee) yang telah diatur sebaiknya oleh pasangan suami isteri itu.
"Bukan itu sahaja, untuk adegan kesesakan lalu lintas itu juga kami menciptanya sendiri dan apabila melihat hasilnya di layar lebar, kami sendiri kagum. Tidak sangka ia menjadi (ketawa).
"Dalam hal ini, kami bertuah kerana mempunyai kawan-kawan yang banyak membantu dan menyokong selain krew produksi yang kreatif serta tahu apa yang kami mahukan," ucap Fariza Azlina sambil dipersetujui Effendee di sebelahnya.
Tetapi berbeza dengan Effendee di mana cabarannya sebagai pengarah terletak dalam keseluruhan naskhah Songlap itu sendiri.
Dia mengakui bukan mudah untuk mengimbangkan Songlap agar ia tidak terlalu menjadi art movie selain mengekalkan nilai komersial di dalam filem itu.
Perang mulut
Mungkin ada yang beranggapan apabila suami isteri bekerja bersama untuk menghasilkan sebuah filem, ia adalah proses yang sukar kerana ia pasti akan melibatkan emosi dan perasaan yang ada kalanya terbawa-bawa dari rumah.
Namun, bagi Fariza Azlina, dia tidak melihat bekerja dengan Effendee sebagai satu masalah besar. Malah, mereka sering berkongsi idea dan bertukar pendapat walaupun ada ketikanya perang mulut tidak dapat dielakkan di set penggambaran.
"Soal gaduh dan berperang mulut itu soal biasa tetapi semuanya adalah dasar profesionalisme. Kami tidak pernah mencampuradukkan soal kerja dan rumah tangga.
"Apabila di lokasi, kami adalah pengarah dan pembikin filem yang sentiasa akan berbincang dan memikirkan mekanisme terbaik demi menjaga kualiti filem kami.
"Saya cukup bertuah kerana mempunyai seorang suami yang cukup memahami dan tahu tanggungjawabnya sebagai seorang bapa, suami dan anak seni," kata Fariza Azlina yang pernah mencuri perhatian peminat filem tempatan sewaktu membintangi filem Ringgit Kasorrga arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba pada tahun 1995.
Berbicara tentang mutu lakonan para pelakon filem Songlap pula, baik Effendee mahupun Fariza Azlina mengakui pada mulanya mereka bimbang seandainya mereka tidak dapat memberikan seperti mana yang diharapkan.
Ini kerana kata mereka, apa yang digambarkan di dalam skrip ada kalanya berbeza dengan imaginasi dan gambaran daripada hasil lakonan pelakon.
Namun, mereka kagum dan cukup berpuas hati dengan setiap pelakon Songlap yang telah memberikan mutu lakonan terbaik. Malah, lebih daripada jangkauan akal fikiran mereka sebelum memulakan penggambaran.
"Bukan hanya pelakon utama tetapi saya boleh katakan semua yang terlibat dalam Songlap telah memberikan yang terbaik. Atas alasan itu, saya benar-benar berharap Songlap dapat memberi kepuasan kepada penonton," kata Fariza Azlina penuh mengharap.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: