Dua loji air dinaik taraf

JEMPOL-Masalah gangguan bekalan air sekitar daerah ini dan Kuala Pilah dijangka selesai setelah loji rawatan air di dua kawasan berkenaan dinaik taraf.

Loji rawatan air Jempol akan ditingkatkan kapasiti bekalan dari lapan juta gelen kepada 12 juta gelen sehari manakala Loji rawatan air Kuala Jelai ditingkatkan daripada 15 juta gelen kepada 25 juta gelen sehari.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, loji rawatan air Jempol yang dibina pada tahun 1978 tidak lagi mampu menampung keperluan orang ramai berikutan peningkatan jumlah penduduk.

“Dengan peningkatan kapasiti ini mampu memberikan kemudahan air yang terawat, kawasan yang terlibat seperti Bahau, Mahsan, Kampung Serting, Felda Wilayah Raja Alias, Felda Sungai Lui dan kawasan lain.

“Malah, ia juga dapat mengatasi masalah tekanan rendah setiap kali musim perayaan. Proses naik taraf ini dijangka siap dalam tempoh 30 bulan,” katanya.

Sementara itu katanya. kerja naik taraf loji berkenaan juga bagi kemudahan pembangunan pada masa akan datang.

“Seperti di Taman Megah, kawasan Mahsan yang melibatkan lebih 60 rumah di kawasan bukit memang susah untuk hantar air, jadi kita bina satu tangki yang berkapasiti lima ribu gelen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Pelaksanaan Naik Taraf Loji Rawatan Air Jempol, anjuran Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin.