
KUALA LUMPUR - DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) melalui anak syarikatnya, Rebak Island Marina Bhd. (Rebak Island Marina) merancang membangunkan hartanah bertaraf dunia berkonsepkan kediaman percutian mewah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa di Pulau Rebak, Langkawi, Kedah.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil berkata, pelancaran Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang melibatkan anggaran pelaburan sebanyak RM5 bilion dalam tempoh lima tahun, merupakan inisiatif yang disambut baik.
"Saya yakin menerusi pelan tersebut beserta kerjasama dan penglibatan semua pihak, unjuran kerajaan untuk menggandakan pendapatan pelancongan kepada RM3.8 bilion menerusi kedatangan tiga juta pelancong ke pulau Langkawi menjelang tahun 2015 akan tercapai," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Justeru, katanya, DRB-Hicom telah mengenal pasti salah satu strategi untuk Pulau Rebak adalah pembangunan kediaman percutian butik mewah yang akan dipasarkan kepada pembeli khusus di dalam dan luar negara.
Mohd. Khamil berkata, ketiadaan konsep pembangunan hartanah kontemporari ultra mewah yang bertaraf dunia di sebuah pulau peranginan di Malaysia, memberi peluang kepada DRB-Hicom untuk meneroka potensinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: