SEBELUM ini kita sering mendengar istilah kaki wayang atau kaki bangku. Sebaliknya, kita jarang mendengar istilah kaki robot. Malah, tidak ramai yang menjangkakan robot boleh dijadikan bahan cerita dan seterusnya diterjemahkan sebagai sebuah drama untuk tontonan kanak-kanak.
Sementelah itu, satu drama kanak-kanak telah dihasil dan diterbitkan oleh syarikat produksi Hezz Comm Sdn. Bhd. Drama berjudul Kaki Robot itu menceritakan semangat dan keseronokan dunia kanak-kanak di luar bandar yang penuh imaginatif untuk mereka cipta robot dan gajet sebagai alat hiburan mereka.
Menurut penerbit yang juga pengarah urusannya, Hezle Helan, pengalamannya ketika berada di India melahirkan idea untuk menghasilkan sebuah drama kanak-kanak berunsurkan robot dan gajet.
“Saya kagum melihat minat kanak-kanak di sana yang begitu minat tentang robotik walaupun kehidupan sosioekonomi mereka di tahap miskin.
“Bertitik tolak daripada situ, tercetus satu idea mengapa kita tidak melahirkan sebuah drama untuk kanak-kanak dengan menjadikan robot sebagai plot dalam drama yang berjudul Kaki Robot,” katanya ketika sidang akhbar drama Kaki Robot yang berlangsung di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur.
Bercerita tentang cabaran menghasilkan drama itu, kata Hezle, dia terpaksa berdepan dengan masalah kompleksiti seperti fabrikasi robot, animatronik, kesan khas imej janaan komputer (CGI) dan runut bunyi.
Masalah modal juga sedikit sebanyak telah menghambat penjadualan penggambaran disebabkan kos produksi drama fiksyen itu menjangkaui kos produksi yang biasa.Katanya lagi, Kaki Robot disiarkan mulai hari ini (Sabtu) pukul 10.30 pagi di TV1.
“Antara pelakon kanak-kanak yang terlibat dalam drama bersiri Kaki Robot ialah Nur Hakim, Syafiedzul, Dharma Seelan dan Hazirah Qasdina. Turut membintangi drama ini ialah Aziz M. Osman dan Osman Kering, Azhan Rahi, Afzan (Pilih Kasih) serta Adrea Abdullah,” ujarnya.
Kaki Robot mengisahkan tentang seorang budak bernama Zaki terpaksa pulang ke kampung bersama-sama bapanya yang bekerja sebagai pengurus sebuah ladang getah.
Zaki yang gemar mencipta robot pada mulanya takut untuk berkenalan dengan kawan-kawan di kampung itu.
Bagaimanapun, dengan robot kecil ciptaannya, dia berjaya menarik minat kawan-kawan yang lain untuk mendekati dan bergaul dengannya.
Bermula dari situ, mereka menjadi akrab dan menggunakan robot-robot ciptaan mereka untuk menubuhkan sebuah kelab robot dan seterusnya menyelesaikan masalah yang terjadi di kampung itu. Mereka juga menyertai pertandingan perlawanan robotik antara sekolah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: