Saturday, December 17, 2011

Daftar sebelum 31 Jan. ganti lesen kenderaan

SHAH ALAM – Semua pengusaha pengangkutan awam di seluruh negara perlu mendaftar semula dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menggantikan lesen kenderaan yang sedia ada kepada lesen pengendali sebelum 31 Januari 2012.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar (gambar) berkata, mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, jika pemilik lesen terbabit gagal mendaftar semula sebelum tarikh itu, ia akan menyebabkan lesen kenderaan mereka terbatal dengan sendiri.

Sehingga kini, menurutnya, sebanyak 80 peratus daripada 90,000 pengusaha melibatkan 300,000 buah kenderaan awam telah melakukan migrasi lesen kenderaan kepada lesen pengendali.

“Lesen pengendali diwajibkan ke atas pengusaha untuk menjalankan operasi pengangkutan awam seperti bas, teksi dan lori dengan tempoh tamat lesen yang seragam.

“Ia berbeza dengan lesen kenderaan ketika ini yang mana setiap kenderaan memerlukan lesen sendiri untuk beroperasi dan berbeza tamat tempoh,” katanya selepas majlis taklimat lesen pengendali bersama SPAD di sini semalam.

Syed Hamid memberitahu, dengan penggantian lesen tersebut, pihaknya akan lebih mudah melakukan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap semua pengusaha terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: