Monday, December 5, 2011

Ceburi teknologi pelancar roket


Satelit Razak Sat yang menjadi kebanggaan Malaysia meneroka teknologi angkasa lepas.


NEGARA-NEGARA dunia pada ketika ini begitu optimis dalam membangunkan sektor industri angkasa lepas yang mana Malaysia tidak terkecuali dengan semakin aktif membangunkan sektor yang dianggap ekstrem itu.

Ini terbukti dengan pelancaran satelit remote sensing pertama negara iaitu TiungSAT yang berjaya dilancarkan ke orbit rendah bumi atau Low Earth Orbit (LEO) pada tahun 2000 dan diikuti RazakSAT pada tahun 2009.

Kedua-dua satelit terbabit dibina menggunakan kepakaran tempatan iaitu Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB) melalui Agensi Angkasa Negara (Angkasa), agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pembinaan satelit-satelit itu menandakan kemasukan Malaysia ke era angkasa lepas.

Jika diimbas kembali empat tahun yang lalu, ketika Malaysia menyambut detik kejayaan angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszafar Shukor Sheikh Mustafa yang dipilih melalui Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Agensi Angkasa Rusia (Roscosmos), beliau telah berjaya sampai ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) melalui misi tersebut.

Apa yang ingin dikaitkan ialah melalui kedua-dua pencapaian dan kejayaan tersebut ialah kepentingan teknologi pelancar atau roket pelancar kepada sesebuah negara dalam meningkatkan faktor ekonomi, sosial, politik dan keselamatan.

Perlu diketahui bahawa asas pembinaan satelit mahupun misi angkasawan bergantung kepada keupayaan untuk melancarkannya dari bumi ke orbit mahupun melepasi lapisan atmosfera bumi.

Jika dilihat kepada pelancaran TiungSAT dan RazakSAT, kedua-duanya memerlukan khidmat penyewaan pelancar komersial dari negara luar.

Roket pelancar tersebut ialah Zenit II milik Rusia dan roket pelancar Falcon 1 milik Syarikat Space Exploration Technology (SpaceX) dari Amerika Syarikat (AS).

Begitu juga dengan misi angkasawan pertama negara ke ISS yang menaiki roket Soyuz TMA-11, yang dimiliki Rusia.

Penyewaan pelancar-pelancar komersial itu memerlukan kos yang sangat tinggi di samping risiko yang perlu ditanggung negara.

Antaranya, kos sewaan ruang pelancar meningkat dari semasa ke semasa termasuk kos logistik yang tinggi serta tidak mempunyai banyak ruang kawalan terhadap atur cara pelancaran.

Malaysia boleh mencontohi perkembangan pembangunan teknologi pelancar di AS yang merupakan antara perintis utama bidang tersebut.

Pembangunan teknologi roket di AS yang mengambil masa lebih daripada 70 tahun bukan suatu perkara yang mudah sebaliknya berdepan proses-proses yang sukar.

Ia bermula dengan sekumpulan pelajar dari Caltech datang ke Arroyo Seco di utara Pasadena Rose Bowl yang mana terletaknya Jet Propulsion Laboratory (JPL) pada hari ini.

Kedatangan mereka adalah untuk menguji sebuah motor roket bersaiz kecil.

Kumpulan tersebut terdiri daripada gabungan pelajar yang mempunyai pelbagai minat dan kepakaran iaitu Frank Malina dan kemudiannya menjadi pengarah kedua JPL, Jack Parsons seorang ahli kimia dan Ed Forman seorang pengendali mesin yang berbakat.

Tindakan mereka untuk melakukan eksperimen roket itu dianggap amat berani dan telah didorong oleh minat mendalam mereka dalam bidang roket.

Berdasarkan satu temu bual bersama Malina pada tahun 1968, beliau mengatakan, percubaan pertama yang dijalankan pada Oktober 1936 yang mana tiada sebarang peruntukan diperoleh melainkan menggunakan modal masing-masing.

Bagaimanapun nasib menyebelahi kumpulan yang digelar sebagai the rocketmen kerana mendapat sokongan padu daripada Theodore Von Karman iaitu seorang profesor dan pakar aerodinamik Caltech pada ketika itu.

Namun, minat mereka bukanlah sesuatu yang disokong oleh masyarakat umum pada ketika itu.

Malah, usaha mereka dijadikan sebagai bahan ejekan dan ketawa kerana dikaitkan dengan fantasi kanak-kanak pada masa itu.

Melalui eksperimen dan pengujian yang telah dijalankan ke atas motor roket tersebut, ia telah menunjukkan peningkatan pelancaran yang lebih baik pada November 1936.

Pada 16 Januari 1937 mereka telah berjaya melancarkan roket.

Daripada detik-detik awal eksperimen di Arroyo dan kerja-kerja ketenteraan sehinggalah kepada penerokaan angkasa lepas, eksperimen yang dijalankan 70 tahun yang lalu itu telah membuka jalan buat JPL sebagai tempat yang mana idea luar biasa menjadi realiti.

JPL dapat terus beroperasi sehingga hari ini hasil pelaburan besar kerajaan AS untuk melihat transformasi hebat kepada perkembangan pembangunan teknologi roket. Malah ia bukan sahaja dimanfaatkan di negara mereka bahkan telah menjadi pendorong kepada perkembangan teknologi roket di negara-negara besar yang lain seperti Rusia, Eropah, China dan India.

Usaha keras rakyat dan kerajaan terbabit dalam mengembangkan teknologi roket ini seharusnya dijadikan iktibar buat rakyat dan kerajaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: