SEORANG ibu mengambil kesempatan pada cuti hujung minggu baru-baru ini membawa dua orang anaknya membeli keperluan sekolah seperti pakaian seragam, seluar dan kasut.
"Syukur atas pemberian ini," katanya mengenai bantuan khas persekolahan RM100 untuk setiap pelajar yang diberikan kerajaan sebelum cuti penggal bermula baru-baru ini. Bantuan berjumlah RM200 untuk dua orang anaknya itu sekurang-kurangnya membantu mengurangkan hampir separuh daripada perbelanjaan tersebut.
"Sebagai warga Malaysia, saya amat berbangga dan berterima kasih dengan pemberian ini," kata Margaret Tai selepas mengambil pemberian RM100 itu di sekolah anaknya pada bulan lalu.
Anak Margaret merupakan salah seorang daripada 3,000 pelajar Sekolah Jenis kebangsaan Cina di Subang Jaya, Selangor yang mendapat bantuan tersebut pada hari akhir sesi persekolahan tahun ini.
Setiap kali musim persekolahan bermula, kebanyakan ibu bapa tertekan dengan perbelanjaan yang perlu disediakan. Antaranya bayaran yuran, tambang bas, membeli pakaian seragam sekolah, kasut dan alat tulis.
"Wang ini akan saya gunakan untuk membeli dua pasang kasut dan stoking. Selebihnya untuk buku latihan," kata seorang petugas kerajaan, Norliza Hashim. Pada peringkat awal, lebih lima juta orang pelajar sekolah rendah dan menengah awam sahaja diberikan wang bantuan ini melalui peruntukan lebih RM500 juta.
Atas permohonan sekolah-sekolah swasta di seluruh negara, peruntukan tambahan diluluskan kerajaan untuk diagihkan kepada 500,000 pelajar tempatan di sekolah-sekolah berkenaan, yang melibatkan sejumlah RM50 juta lagi peruntukan.
"Wang yang diberi mungkin kecil nilainya oleh keluarga yang berada, tetapi untuk keluarga yang ramai anak dan kurang berkemampuan, ia sesuatu yang besar.
"Bantuan RM100 ini dapat meringankan perbelanjaan yang perlu kami tanggung walaupun sedikit kerana perbelanjaan mana-mana keluarga yang tinggal di kawasan bandar memang tinggi," kata Rohimi Sheikh Ibrahim.
Ada juga ibu bapa yang memilih untuk memberikan wang RM100 itu kepada orang lain yang lebih memerlukan.
Baucar buku
Persoalannya, mengapa ibu bapa perlu datang ke sekolah mengambil bantuan khas itu?
Ia bagi memastikan wang itu diterima dengan pengetahuan ibu atau bapa atau penjaga bersama pelajar.
Dalam Belanjawan 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian baucar buku RM200 kepada semua penuntut warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi dan pelajar tingkatan enam.
Baucar buku itu boleh digunakan pada awal pengajian tahun depan.
Kira-kira 1.3 juta pelajar itu dijangka mendapat manfaat daripada pemberian berjumlah RM260 juta.
Zayanah Zahar, 18, dari Johor, penuntut Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (UM) berkata, jumlah RM200 boleh menampung keperluan membeli beberapa buku rujukan yang diperlukan.
"Memang rasa puas hati dengan pemberian itu walaupun jumlahnya nampak kecil, tetapi ia banyak membantu sebab kursus kedoktoran misalnya, memang banyak memerlukan buku rujukan," katanya yang berharap pemberian itu tidak disalah gunakan rakan-rakannya.
Kerajaan bagaimanapun memberi jaminan bahawa mekanisme terbaik menentukan kaedah menukarkan baucar dengan buku akan disediakan.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berkata: "Diharapkan pembiayaan buku melalui baucar ini dimanfaatkan sebaik yang mungkin oleh para pelajar."
Seorang doktor dan pensyarah di Kolej Kesihatan Awam, Universiti Filipina di Manila, Dr. Emerito Jose A. Faraon berkata, pelajar Malaysia bertuah mendapat bantuan seumpama ini. Di Filipina katanya, pemberian seumpamanya belum ada.
"Di negara saya tiada sebarang bantuan diberikan kepada pelajar termasuk kepada mereka yang ingin belajar di luar negara," kata Abuya Samuel, 23, warganegara Uganda.
Abuya memilih Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti swasta di Cyberjaya.
"Ayah saya seorang ahli perniagaan. Jadi saya datang ke Malaysia untuk menyambung pengajian yang ditaja oleh ibu bapa saya. Di negara saya hanya menawarkan kemudahan pinjaman untuk penuntut di universiti tempatan," kata Mohammad Jawad dari Bangladesh.
Ringankan beban
Seorang pekerja syarikat dan gas dari Arab Saudi pula berkata, di negaranya penuntut universiti menerima bantuan hampir SR900 (RM720) yang belajar di universiti awam tempatan.
"Ia untuk pembelian buku atau apa-apa keperluan lain. Anak sulung saya menerimanya semasa mengikuti kursus ijazah sarjana muda dalam bidang Teknologi Maklumat di Taif," katanya.
Tidak cukup dengan bantuan pelajar sekolah dan universiti, pemberian RM500 diberikan kepada mereka dengan isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.
Bantuan Rakyat 1Malaysia ini tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha meringankan kenaikan kos sara hidup.
"Saya merasakan saya antara orang yang paling bertuah kerana bakal menerima bantuan RM500 dan anak-anak saya di universiti akan dibantu dengan baucar buku RM200 dan yang masih bersekolah mendapat RM100," kata Rahmat Ali, 50, pemandu teksi yang mempunyai dua orang anak di universiti dan dua orang lagi yang masih bersekolah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: