Sunday, December 18, 2011

Babak ranjang penting - Osman Ali


Inilah babak ranjang Maya Karin dan Aaron Aziz dalam filem Ombak Rindu.


Di sebalik sekian banyak pujian yang diberikan terhadap filem Ombak Rindu, pengarahnya Osman Ali dan pelakon wanitanya Maya Karin, minggu lalu Pancaindera menyiarkan tulisan Ali Atan yang menganggap filem itu hanya tragedi murahan. Banyak peminat filem itu tersentak dengan sudut pandangan tersebut.

Dalam tulisan itu Ali Atan juga mempersoalkan begitu rendahnya label Islam yang diberikan kepada latar cerita yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Menurut Ali Atan, Islam dalam Ombak Rindu hanya digambarkan melalui watak Pak Dolah bersongkok, pergi haji dan watak Izzah (lakonan Maya Karin) bertudung dan mengajar mengaji Quran. Tetapi selebihnya tidak ada cara hidup Islam yang digambarkan dalam filem ini.

Osman Ali mengakui filem Ombak Rindu tidak berkonsep Islam tetapi menggambarkan realiti masyarakat Melayu di negara ini. Tetapi Osman Ali tidak menjelaskan adakah ini bermaksud pegangan agama sudah tidak menonjol dalam masyarakat Melayu khususnya di luar bandar.

“Filem ini memang tidak Islamik, tetapi jalan cerita filem ini mewakili realiti sebenar masyarakat kita ketika ini,” tegas Osman Ali ketika dihubungi Khamis lalu.

Bertudung

Bagaimanapun Osman Ali tidak menjelaskan kenapa dia menukar imej watak Izzah daripada tidak bertudung dalam novel Ombak Rindu kepada bertudung. Ada yang tertanya-tanya adalah dengan bertudung itu Osman Ali mahu memberitahu konflik sosial ini berlaku dalam masyarakat Melayu - Islam.

Bagi penonton filem yang berfikiran kritis, Ombak Rindu sebuah melodrama kitar semula yang penuh klise. Tragedi yang menimpa watak baiknya bertalu-talu untuk menarik simpati penonton.

Tetapi kata Osman Ali, “Saya telah wujudkan watak putih dan hitam yang mewakili kebaikan dan kejahatan, kebiasaannya kebaikan adalah kemenangan.”

Ini dibuktikan melalui watak Izzah yang dipergunakan oleh Hariz untuk memuaskan nafsunya sahaja. Tetapi berkat kesabaran yang ada pada Izzah, dia berjaya menawan hati Hariz.

Dalam pada itu, jelas Osman lagi, filem ini juga memaparkan tentang dua perspektif masyarakat mengenai poligami.

“Dalam filem ini misalnya, watak Mila yang dilakonkan oleh Lisa Surihani telah membuktikan yang dia tidak mahu kekasih hatinya Hariz berkongsi kasihnya dengan Izzah, manakala Izzah berpendapat sebaliknya,” kata Osman Ali lagi.

Ada penonton mempersoalkan di manakah perlunya babak ranjang diselitkan dalam filem ini? Adakah kalau ditiadakan babak ranjang, pola ceritanya menyimpang dan tersasar? Adakah kerana memang wujud dalam naskhah novel maka ia turut dimuat juga dalam filem?

Tetapi kata Osman Ali yang sebelum ini memang terkenal dengan kegemaran membuat babak ranjang, “Kalau babak ranjang itu dibuang, filem ini hilang keasliannya. Filem Ombak Rindu tidak akan menjadi. Ini kerana cerita asalnya memerlukan babak ranjang untuk menentu jalan ceritanya.”

Sebelum ini Osman Ali pernah mengarah filem Anak Halal yang mencetus kontroversi kerana banyak babak ranjang hingga peringkat seolah-

olah “sengaja” diadakan untuk tujuan pasaran. Begitu juga filem semi dokumentari Bukak Api mengenai kehidupan pelacur maknyah di Lorong Haji Taib.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: