PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon yang dicungkil daripada program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Akma, 26, lebih selektif dan menjaga batas sejak bertudung pada 13 Syawal lalu.
Menurutnya, atas sebab itu dia memilih untuk tidak beraksi keterlaluan semasa menyanyikan lagu dangdut berjudul Selamat Jalan Romeo yang dipertandingkan dalam Konsert Akhir Reunion Akademi Fantasia di AEON AU2, Setiawangsa baru-baru ini.
Konsert tersebut akan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) pada 31 Disember depan, pukul 10 malam.
“Saya menerima pelawaan pihak Astro apabila diminta menyanyikan lagu tersebut kerana saya pernah mendendangkannya semasa konsert AF3 dahulu.
“Pada mulanya saya ingatkan persembahan biasa tetapi sehari sebelum konsert reunion itu berlangsung, baru saya tahu ia adalah sebenarnya sebuah pertandingan.
“Bagaimanapun, saya lakukan persembahan itu secara sederhana dan tidaklah beraksi keterlaluan. Cukuplah sekadar menghiburkan mereka yang hadir pada malam itu,” kata Akma kepada mStar Online.
Menyentuh tentang perubahan barunya itu, Akma pada mulanya mengenakan selendang tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk bertudung.
“Selain menjalankan kewajipan sebagai seorang Islam, saya juga lebih selesa berpakaian sebegitu kerana rasa lebih tenang. Alhamdulillah kerana Allah membuka hati saya untuk berubah ke arah kebaikan.
“Saya juga bersyukur apabila mendapat peluang untuk berniaga dengan menghasilkan coklat dari rumah yang dinamakan “Cocolycious by Akma”. Memandangkan sekarang sudah hujung tahun, saya mendapat banyak tempahan untuk majlis perkahwinan,” katanya yang turut memberi tumpuan kepada persembahan pentas.
Beralih kepada cinta, Akma akui belum menemui jodoh yang sesuai sebaliknya memohon agar semua peminat mendoakan kebahagiaannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: